![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEibpzCXQh2BzGDdLoq2zU4t-U2dBG0ueqTF_ASiurgms9bZPuGEGFYi4x4sU0YDxXY67H2u4VmkhVRCSfolOjRycERPGnkHmN0Tcfu5MzMV40i4NudBV8vE5tnZh1SufD6NzDKLg6trEVY/s320/CAK+raina&raiqal+wb.jpg)
“Yang tayang muka empat belas ni apa
cerita?” Raina tayang muka pelik melihat Raiqal yang asyik menjeling-jeling
dari tadi. Bukan menjeling dia, tapi menjeling orang lain. Pagi-pagi lagi nak
tayang muka pesen tu, mana nak datang barakahnya.
“Siapa tu?” tanya Raiqal sekali.
Bibirnya menjuih pada seseorang di luar rumah. Rancak berbual dengan Papa di
meja batu. Papa pula melayan mesra. Dah ada paper kat tangan tu, tak payah nak
layan sangatlah.
Raina menjengah. “Jiran sebelah
rumah.”
“Tahu... orang pun nampak tadi dia
datang dari rumah sebelah. Yang Raiq tanya, siapa? Kenapa sibuk dok melepak
sini?”
“Aku tak nampak masalah apa pun dia
duduk sini?”
Raiqal merengus. “Bila ada yang
bertanya tu, maksudnya dia memerlukan jawapan. Faham?”
“Hek eleh. Kerek.” Komen Raina
menyampah. “Aku panggil dia Mak Cik Jue. Tak payah nak sombong sangatlah, dia
tu baik. Dah berzaman aku kenal dia, memang dia baik. Bukan takat dia yang
baik, anak-beranak dia pun begini baiknya.” Ibu jarinya dinaikkan. Tanda kesungguhan.
Mana tak baiknya, sejak dia kecik, kalau ada apa-apa event di sekolah yang
memerlukan kehadiran penjaga dan Papa tak dapat hadir, selalu Mak Cik Jue lah
yang volunteer diri. Kadang-kadang sampai dia menganggap Mak Cik Jue itu
mamanya sendiri! Pernah dia cadangkan Papa untuk jadikan Mak Cik Jue itu
mamanya, tapi yang tak tahannya boleh Papa tergelak panjang. Sejak tu dia
serik. Tak usah nak jadi match-maker sangatlah.
“Mak Cik Jue...” Raiqal
mengangguk-angguk. “Selalu ke dia lepak sini?”
Raina tergelak. “Jaga bahasa sikit.
Mana melepaknya, kan dia datang kasi kuih ni.” Tupperware yang berisi kuih
talam dibawa Mak Cik Jue tadi diangkat.
Raiqal mencemik. “Kasi kuih sampai
kena duduk kat meja batu segala...”
“Dah Papa ajak.”
“Papa tu pun satu...”
“Yang nak emo sangat kenapa?”
Emo tak emo. Mak Cik Jue kesayangan
Cha tu janda, kalau ikut dari cerita Cha selalu tu. Memang Cha tak cerita
sangat, tapi sikit-sikit yang dicerita tu, masuk melekat di kepala ni. Dan bila
seorang janda duduk bersama seorang duda dan si duda itu Papa, sungguh dia tak
berkenan. Takkan ada dua Mama. Cukup dengan Mama yang satu itu aje!
Tapi, bila fikir-fikir balik... Papa
ada Mak Cik Jue, Mama pun ada Pak Su Afiq kat Kota Bharu sana tu. Hah, adillah
kan?
================================
Sementara itu, di Kota Bharu
sana, Adawiyah yang baru balik dari kerja shif malamnya menyibukkan diri. Kalau
dulu, balik kerja, adalah jugak Raiq di sisi buat pengubat sunyi. Sekarang,
Raiq dah semakin membesar, dia pula ditinggalkan keseorangan. Tapi ditinggalkan
berseorangan atas sebab itu, langsung dia tak menyesal. Malah bangga pula! Anak
yang dia besarkan seorang diri selama ini akhirnya ‘jadi orang’!
Memanglah, masuk universiti itu tak semestinya dah berjaya. Tapi,
itu satu peringkat untuk berjaya. Dan dia, sebagai mama sekali gus papa kepada
Raiqal, mana boleh tak berbangga dengan prestasi anak muda itu.
Kadang-kadang, bila melihatkan Raiqal, ingatannya sering kali
terarah pada Raina. Anak yang meniti alam remaja hanya dalam jagaan seorang
Papa itu. Bagaimana dengan Cha? Jadi orang ke tidak anak itu? Tidak teringatkah
dia pada Mama dan Raiq di sini? Tapi melihat Raina yang muncul di depannya
tempoh hari, sungguh hatinya terharu. Sangkanya mereka dua beranak sudah
dilupakan sepenuhnya. Sangkanya Rafizi sudah berikan mama yang baru buat Cha.
Tapi ternyata, Raina di situ. Tersenyum dalam debar menantikan mereka keluar
untuk menyambutnya.
“Mak cik ni... Adawiyah?” Itu yang ditanya Raina sewaktu dia muncul
di pintu rumah mereka tempoh hari.
Dan dia sendiri, tanpa sempat menjawab terus merangkul gadis muda
itu ke dalam dakapan. Tak perlu ditanya siapa gadis itu, melihat wajahnya
sahaja dia sudah nampak iras campuran dia dan Rafizi di wajah itu. Cuma Raiqal
yang nampak blur. Mahu tak kelam, mereka berpisah bukan setahun dua, tapi 12
tahun!
Setelah dakapan mereka terlerai, belum sempat dia nak perkenalkan
Raina pada Raiqal, anak terunanya itu sudah hanyut dirangkul Raina sendiri.
Waktu itu rasa sebaknya makin membukit, ternyata Raina masih kenal Raiqal!
Mengingatkan betapa merahnya muka Raiqal waktu itu, dia tergelak sendiri.
Raiq... Raiq... Tapi iyalah, siapa tak blushing bila tiba-tiba seorang
perempuan muda datang depan rumah dan memeluknya erat, kan? Tambah haru,
dipeluk live depan mama sendiri! Heh.
Tapi, melihat rambut panjang Raina yang lepas bebas itu, dia agak
terkilan. Ini ke hasil didikan Rafizi? Dia mengeluh. Tidaklah nak kata didikan
yang diberi pada Raiqal tu cukup lengkap dan sempurna, malah nak ‘dipertanding’
pula dengan cara Rafizi mendidik Raina. Oh please. Dia tidaklah sebodoh itu.
Cuma, sedikit rasa tak puas hati yang muncul bila melihat keadaan ini. Dulu,
Rainalah yang selalu berceloteh tentang aurat dengannya.
“Mama, aurat ni...”
Itu bila kain yang dipakainya tersingkap mendedahkan betis di depan
Rafizi. Siap tolong menutup dengan selimut lagi betis yang terdedah itu. Dia
dan Rafizi cuma tergelak panjang.
“Mama, cikgu sekolah Cha kata tak ada guna pakai tudung tapi lengan
tak tutup!”
Itu pula bila Adawiyah turun dari rumah untuk angkat kain dengan
kalut sampai tak sempat nak capai sarung lengan.
“Cha, cikgu Cha tak kata pulak kalau nak tegur orang kena tegur
macam mana?” Rafizi membebel. Dan lepas tu, Adawiyah akan menepuk tangan
kemenangan. Tak kisah dengan kain yang dah basah kuyup di ampaian.
Dia tersenyum sendiri. Mengingati kenangan silam selalu mencipta
bunga senyum di bibirnya. Pasangan suami-isteri lewat 20an dengan sepasang anak
kecil, Raiqal dan Raina. Pasangan yang romantik. Keluarga yang bahagia.
Rafizi menikahinya sewaktu mereka sama-sama dalam alam universiti.
Memang ibu dan ayah melarang, malah kedua-dua mertuanya juga, atas alasan
mereka masih belajar. Malah, usia mereka terlalu muda. Baru saja nak capai umur
20an. Orang tua mana yang tak risau? Tapi larangan mereka tidaklah sampai
menentang. Setelah puas dipujuk, akhirnya mereka dinikahkan juga dengan restu
kedua-dua belah pihak.
Setahun bernikah, Raina lahir. Rumah tangga mereka semakin berseri.
Ibu dan ayah sendiri seakan lupa mereka pernah melarang masjid ini terbina
suatu waktu dulu dengan hadirnya cucu mereka itu. Apatah lagi bila Rafizi
membuktikan pada mak dan ayahnya yang dia mampu menggenggam ijazah dengan isteri dan anak di sisi. Tak lama
kemudian, Adawiyah pula menamatkan ijazah dan tambah menggembirakan, dia
disahkan mengandung.
Sama-sama mereka membesarkan Raina dan Raiqal bersama. Yang
lucunya, ada antara saudara-mara yang menjadikan Rafizi sebagai ‘lelaki
contoh’. Tidaklah sebegai idola, namun kata ibu, sebab Rafizi mampu jaga anak
dara orang pada usia yang begitu muda serta mempunyai cahaya mata tanpa perlu
extend pengajian itu yang bikin mereka salute.
Tapi sebenarnya, panas yang mereka jangkakan sampai ke petang tidak
berkekalan. Sewaktu Raina dan Raiqal baru nak kenal alam sekolah, hubungan
mereka terduga. Puncanya? Sangat klise. Orang ketiga! Sungguh, dia sendiri tak
percaya Rafizi yang pernah meluahkan betapa dalam cintanya buat Adawiyah dulu
boleh berpaling tadah gara-gara wanita lain.
“Kau orang muda lagi Yah... berdarah panas. Jangan ikutkan sangat
hati tu. Syaitan ni memang kerja dia menghancurkan umat Muhammad aje. Buat masa
ni, sabarlah dulu. Rafizi pun tak pernah angkat tangan dekat kau kan? Sayang
dia pada kau masih bersisa, percayalah. Sebab tu ibu harap sangat kau tabah.
Jangan sampai syaitan bertepuk tangan gembira meraikan runtuhnya lagi masjid
yang terbina ni.”
Memang. Nasihat ibunya itu dituruti. Dia sabar. Sampaikan Rafizi
memberitahu dia akan menikahi wanita itu juga, dia sabar. Dia relakan diri
dimadukan. Bukan kerana nasihat ibu, tapi sebab cintanya pada Rafizi juga bukan
sedikit. Kalau wanita penganggu itu fikir Adawiyah akan berundur dengan cara
ini, maka dia akan membiarkan wanita itu terus hidup dalam alam mimpinya.
Tapi pengorbanan dia dipersia! Rafizi enggan memadukan dia. Ternyata
permintaan wanita itu kononnya ingin memiliki Rafizi sepenuhnya dan tak rela
berkongsi lebih diberi perhatian. Dengan satu lafaz, gugurlah satu talak ke
atasnya. Sedih, memang dia sedih. Apalagi bila dia dipisahkan jauh dengan
anaknya sendiri. Bukan dia tak sayangkan Raina sampai sanggup membiarkan mereka
anak-beranak terpisah, bukan. Tapi waktu
itu, semangatnya seakan patah. Dia seakan sudah pasrah dengan apa saja yang
Rafizi nak lakukan. Tapi, ternyata tindakan dia yang merelakan saja itu yang
mendatangkan sesalnya sampai hari ini. Kerana sikap pasrahnya, dia hilang
peluang keemasan itu. Peluang untuk melihat Raina membesar di depan matanya
sendiri. Sampai sekarang, bila kenangan silam mengetuk mindanya, ada senyum
rindu dan ada riak sebu yang muncul pada wajahnya.
“Ada!”
Dia tersentak dari lamunan panjang. Mata yang terasa berkaca cepat
disekanya. “Ada apa bang?” sahutnya pada Afiq yang dah tercegat di depannya.
Akhbar Metro di tangan dilipat dua.
“Menungkan apa sampai tak sedar abang masuk rumah ni?” Afiq
melalukan kerusi batu di antara dua belah pahanya.
Adawiyah senyum. “Tak adalah bang, teringatkan Raiq aje.” Pintu
pagar yang terbuka separuh dipandang sekali lalu. Hm, memang ralit benarlah
kalau pagar terbuka pun boleh tak sedar.
“Raiq?”
“Hm... entah dah pergi ke tidak rumah papanya.”
“Raiq pergi rumah Papa dia?” Afiq mengulang.
Adawiyah tergelak kecil. Tak ada yang pelik pun. “Semalam Raiq kata
dia orang dua beradik tu nak pergi rumah Papa dia, Cha yang ajak. Tapi tak
tahulah jadi ke tidak.”
“Rafizi maksud Ada?”
“Habis, Ada pernah kahwin dengan orang lain ke selain dia?”
Adawiyah tergelak lagi.
“Oh...” Afiq mengangguk. Perkembangan terbaru, desisnya sendiri.
Sebelum ni, Raina datang ke Kelantan, dia tahu. Malah dia sendiri sudah bertemu
mata dengan anak sepupunya itu. Tapi, setakat yang Raiqal ceritakan pada dia,
hubungan Raiqal dan Rafizi tidak seperti anak-papa lain. Lain macam mana, dia
sendiri sukar nak gambarkan. Tapi sekarang, siap bertandang ke rumah lagi tu...
okeylah tu kot.
“Abang dari mana ni? Hari tu kata pergi Vietnam?”
“Baru baliklah ni. Bos bagi cuti dua tiga hari, buat hilang lelah.”
Kening Adawiyah naik sebelah. “Baru balik? Bila sampai?”
“Dinihari tadi.”
“Wah... dinihari sampai pagi ni dah terpacak kat rumah Ada. Rasa
dihargai pulak.”
Afiq senyum sungging. “Memang sepatutnya dari dulu lagi apa Ada
rasa dihargai. Abanglah orang yang paling menghargai Ada, tau?”
Adawiyah tergelak. “Amboi ayat... tak menahan. Kata-kata abang ni
bisa sungguh kan? Buaya.”
“Eh... kalau tentu abang buaya tak main bisa-bisa ni. Sekali ngap
terus dapat. Tapi Ada tak dapat-dapat, sah-sahlah abang ni bukan spesies
buaya.”
“Ada pulak...” Adawiyah tergeleng. “So, datang ni memang bawak diri
aje ke? Kata baru balik melancong, takkan tak ada...”
“Ada... jangan risau. Tapi dok dalam kereta kawan, tertinggal
semalam.”
Adawiyah membuntang. “Wah, serius sungguh abang ni ya. Mak Lang
macam mana? Sihat?” Mendengar soalan itu, Afiq ketawa panjang. Kepalanya
tergeleng sedikit. Kening Adawiyah terangkat sebelah melihatkan gelagatnya.
“Kenapa bang? Geli hati sangat gamaknya?”
“Ada ni tak ada modal lain. Setiap
kali abang datang, itu ajelah yang ditanya. Mak Lang, Mak Lang, Mak Lang... mak
abang kat rumah tu entah berapa kali tersedak agaknya. Cuba tanya abang ni
sihat ke tidak, kan ke sejuk jugak hati abang.”
“Dah tu... abang dah kat depan mata
Ada, nak tanya apanya lagi. Sihat walafiat aje Ada tengok.”
“Tu kat luar, kat dalam ni Ada tak
nampak.” Jari telunjuk Afiq menghala ke dada sendiri. Namun sengih masih setia
tersungging di bibir.
Adawiyah tergeleng dalam senyumnya.
Tu dah mulalah tu. “Ada apa kat dalam tu?” Dia melayan.
“Ada nama Ada.”
“Mana?”
“Ada, kat dalam ni. Terpahat kukuh
dalam hati ni.”
Adawiyah kerutkan kening. Gaya
berfikir masalah negara aje melihatnya. “Kenapa Ada tak nampak pun? Tak apa,
nanti Ada masuk ambik kapak, belah dada abang. Sure boleh nampak terang, tak
gitu?”
“Amboi, bergurau...”
“Eh, tak... serius ni.”
“Janganlah Da, kot ya pun tunggulah
abang nikah dulu. Kasi chance abang rasa nikmat alam
perkahwinan dulu.”
Adawiyah mencemik. Afiq ni, gaya tak
serupa orang besar. Muda remaja aje gaya percakapan dia tu. Gaya gila-gila.
Heh, sebab pengaruh title ‘bujang’ dia tu kot. “Kasi berapa banyak chance lagi.
Ada tengok dah berderet gambar perempuan Mak Lang tunjukkan kat abang, ada rupa
pulak tu... eh boleh dia tolak mentah-mentah. Ni nak kata tak ada chance pulak.
Pigidah.”
“Mana, abang tak tolak
mentah-mentahlah. Abang dah try dulu, rasa tak kena baru abang reject.
Kadang-kadang yang abang rasa boleh masuk tu, dia pulak tak berkenan dengan
abang. Haa, nak buat macam mana?”
“Abang tu memilih sangat. Bukan tak cantik pun calon-calon yang Mak
Lang cari tu, Ada yang perempuan ni pun tak fikir banyak kali nak puji cantik,
ini pulak abang yang lelaki tu. Rasa tak kena tu biasalah bang, mula-mula
kenal. Bercinta lepas kahwin barulah best.”
Afiq senyum sinis. “Kalau setakat bedak pasar malam tebal kat pipi,
eye shadow terang sampai tak nampak warna asal mata, tak payah nak kata ada
rupa sangatlah Da... abang ada taste jugak.”
“Eh, padanlah dengan umur awak tu.
Abang tu dah lebih empat siri tahu? Ada hati nak demand lagi.”
“Eh Ada apa tahu, orang lelaki ni
bila masuk siri keempat ni lagi meletup. Men begin at forty, tahu? Lagipun,
baru awal 40an, tidak sampai 50 lagi...”
“Yeah right.” Adawiyah menjuling.
“Dah kira baik Mak Lang tak carikan abang janda. Ingat jugaklah Mak Lang status
abang tu...”
“Hah, sebut,sebut.” Afiq mencerun.
“Status-status tu jangan main.”
“Iyalah, abang ni bujang terlajak,
bukan duda. Ops...” Adawiyah menekup separuh mulut. “Tak sengaja.”
“Ada...” Afiq kelu. Dalam senyum dia
tergeleng sedikit. Abang bujang terlajak pun bersebab, Da. Bukan saja-saja.
“Tapi kalau janda pun abang lagi suka sebenarnya, janda anak dua.”
Adawiyah terdiam. Terjerat.
Sebolehnya dari awal lagi dia nak mengelak dari berbicara tentang hal-hal
begini, tapi akhirnya, terjerat jugak! “Abang dah minum?” Adawiyah bangun. Afiq
ikut bangun.
“Da...” pergelangan tangan Adawiyah
dicapai Afiq. Langkah Adawiyah terhenti. Dan waktu itu juga, telefonnya
berbunyi. Anak mata keduanya sama-sama terpaku pada skrin telefon di atas meja
batu itu.
Raiq.
Adawiyah mengalih pandang, dari
skrin telefon ke tangannya yang masih dalam pegangan Afiq. Akhirnya, matanya
tertunak pada wajah Afiq. “Tangan Ada, please.”
Perlahan, Afiq melepaskan genggaman tangannya pada tangan Adawiyah
sebelum dia naikkan kedua belah tangan ke udara, mengaku salah. Melampaui batas
dia kali ni.
“Assalamualaikum,” suara Adawiyah kedengaran menjawab panggilan
Raiqal. “Haa, mama ni. Dah sampai ke? Oh, semalam lagi. Kira petang ni
baliklah? Hm... kat rumah ni. Baru balik kerja. Pak Su Afiq pun ada ni,”
“Yeah, I’m here.” Afiq mendekat agar suaranya jelas didengar Raiqal.
Adawiyah mengelak tak senang.
“Tak tahulah. Konon datang nak berziarah katanya. Papa ada ke tu?
Sihat dia? No thanks, kirim salam ajelah.”
“Ehem! Ehem... ehem!” Tangan Afiq naik megurut tekak. Sakit
tiba-tiba!
“Hm... ya... mama pun. Nanti petang mama call balik ya? Nanti kirim
salam dekat Kakak Cha. Assalamualaikum...”
“Raiq?” tanya Afiq sebaik saja talian ditamatkan.
Adawiyah menjuling. Entah apa-apalah. Dah tahu lagi nak ditanya.
“Tak, Fizi.”
Afiq terkena. “Tak apalah kalau macam tu, abang balik dulu.”
“Seeloknya macam tulah.”
“Amboi... Ada, tak agak-agak. Tak apa, dengan Ada abang tak ambik
hati sangat. Nanti kalau ada apa-apa, hallo-hallo sama abang ya.”
“InsyaAllah.” Dalam hal ni, tak boleh nak kerek sangat. Memang
selama ni pun pada Afiqlah dia dan Raiqal bergantung kalau perlukan apa-apa.
Afiq tak lokek.
P/s: Terjawab dah? Hehe. enjoy reading. maaf xselalu update. =-)
ouh..u sbb mak bapak cha bercerai ek?
ReplyDeletetp...sape plak yg jd phk ke3 tu???
nape x kawen ngan papa cha pon???
~syahira-ira
syahira_ira, sabaaarr.. hehe.
ReplyDelete