Cerita Antara Kita 3

by 9:14 PM 2 komen

 
“Pa… Cha nak pergi Kelantan boleh?”

Soalan itu terasa terngiang-ngiang di cuping telinga. Untuk kesekian kalinya, Rafizi mengeluh. Sebelum ini, bukan tak pernah Raina bertanyakan mama dan Raiqal, tetapi waktu itu dia bijak mencari channel lain untuk mengalih perhatian anak yang seorang itu. Tapi kini, setelah lebih sepuluh tahun anak perempuan kesayangannya itu membesar dalam jagaannya seorang, akhirnya dia terpaksa akur juga. Raina Aisyah bukan anaknya seorang. Adawiyah berhak. Malah Raina sendiri juga berhak merasakan kasih seorang ibu. Bukan selamanya Raina boleh teruskan hidup dalam keadaan ‘Cha dan Papa’, akan ada ‘mama dan Raiq’ yang akan menyambung istilah ‘Cha dan Papa’ tadi.

‘Papa, Mama, Cha dan Raiq’. – Itu yang sebetulnya.

Dan dia sendiri, bukan dia sengaja memasang niat dan tekad dalam hati untuk memisahkan mereka anak-beranak. Bukan! Siapa yang tak nak family bahagia? Takkan ada. Semua mengimpikannya.

Dia ada sebab. Ada sebabnya. Cuma... sebab itu tidak kukuh. Dan kerana itulah sering dia termenung sendiri mengenangkan kekesalannya. Mengenangkan kebodohannya suatu waktu dahulu. Bodohnya dia tidak terkata bila tanpa teragak merobohkan mahligai yang sudah lebih dari sempurna baginya. Dan tambah dia kesalkan, kebodohannya itu dia teruskan sehingga ke hari ini.

Peluang di depan mata. Adawiyah tidak meminggirkan diri, maka dia bila-bila masa sahaja boleh memabwa Raina bertemu mereka. Tapi, ada yang kadang-kadang mengetuk fikirannya. Ya, Adawiyah tidak meminggirkan diri. Tapi dia juga bukan melarikan Raina. Kalau Adawiyah mahu, bila-bila masa juga dia boleh membawa Raiqal ke sini.

Tapi setelah bertahun-tahun pun, dia dengan alasannya, dan Adawiyah juga diandaikan dengan alasannya sendiri. Yang menjadi mangsa, Raina dan Raiqal! 

Justeru, permintaan penuh pengharapan dari Raina beberapa bulan lalu diiakan jua. Tapi tetap, Cuma Raina yang pergi. Menyambung semula ikatan kasih yang terlerai suatu ketika dulu. Dia sendiri... masih kabur.

Lama termenung, Rafizi mengeluh lagi. Sekarang ini, rumah sewa berdekatan kampus yang dia carikan untuk Raina di awal tempoh anaknya itu mendaftar masuk ke UiTM dulu itu bukan lagi didiami Raina seorang. Kini, ada Raiqal yang menemani. Raiqal Ammar, anak bongsunya , satu-satunya anak lelaki dia dan Adawiyah. Memang, adanya Raiqal di situ pun atas izin dia sendiri. Itu, pada pandangan mereka. Tapi sebenarnya, dari awal Raina mengkhabarkan padanya tentang kejayaan Raiqal memasuki universiti yang sama dengan anak gadisnya itu lagi dia sudah terdetik akan hal ini.

Tapi yang dia sendiri kesalkan, sampais ekarang pun dia masih lagi tak dapat berbual mesra dengan Raiqal. Perbualan yang selayaknya dirasai oleh anak dan bapa. Bukan tidak berkesempatan, tapi dia sendiri yang mengelak.

Kenapa? Rafizi tergeleng sendiri. Cermin matanya ditanggalkan sebelum pangkal hidungnya yang terasa senak diurut-urut. Sebabnya... usah ditanya!
 =======================
“Bang, bagi egg tart tu lima bang.”
  
Rifqi yang leka menyusun kek dan segala jenis kuih berpaling menghadap pelanggan di kaunter kedainya. Lantas keningnya berkerut dengan kepala terjengah-jengah ke luar. Ke mana Anis, cik adik manis yang selalu menjaga kaunter tu? Tak pun, si Ziad, pekerja kafe yang mysterious sangat bagi Cha tu? Curi tulang ke semuanya? Eh, tapi dua orang tu ada je kat hujung kafe tu. Santai bergoyang kaki tunggu pelanggan masuk. Hm... nasib baik ni first customer aku. 
  
 “Ooh abang.” 

“Yep, nak apa dik?” Rifqi di kaunter mesin hulurkan senyum berbisanya pada gadis anggun berblaus hijau lumut dan berseluar slek di hadapannya. Cap putih di atas kepalanya dibetul-betul.

“Egg tart lima eh bang.”

“Siap!”

 “Terima kasih bang.” Si gadis anggun tadi angguk sopan setelah bakinya diberi sebelum dia berlalu keluar.

 “Sama-sama kasih...” Rifqi senyum terlebih gula.

 “Hah! Menggatal!” Raina menerjah masuk tiba-tiba. Menjegil mata Raina memandang Rifqi yang sudah terkulat-kulat di situ.

 “Apa pulak menggatalnya?” Rifqi kerutkan kening.

“Heleh.” Raina mencebik sebelum berlalu ke meja pelanggan. Rifqi mengekor dari belakang.

“Nak makan apa?” soalnya setelah mereka duduk. Cap putih yang dia pakai tadi ditanggalkan dengan hujung jari telunjuk dan ibu jarinya sebelum dia letakkan di atas meja. Apron di tubuhnya juga dilonggarkan ikatannya sebelum turut ditanggalkan dan disangkut pada kerusi sebelah.

 Raina mencebik. “Tak nak.”

 “Minum? Macam biasa?”

 Mencebik lagi. Kali ni Raina sertakan dengan gelengan tanda kesungguhan yang amat. “Tak nak. Dah minum kat rumah tadi.”

 Rifqi menepuk meja tiba-tiba dengan mata sengaja dijegilkan. “Dah tu datang kafe ni nak apa?”

 Raina sengih. “Nak jumpa Abang Riflah. Rindu.” Matanya dikerdipkan dua kali. Buat aksi gedik. Empat bulan kut tak jumpa, mau tak rindu. Selama cuti ni pun berhubung cuma pakai teknologi canggih yang orang panggil telefon tu aje. Dengar suara aje, mana cukup! Tak kisahlah kalau Abang Rif tak rindu aku sikit pun, dia jawab bila aku call selalu tu pun dah kira okey. Heh. Ni la orang kata, tak sedar diri kau Cha!

 Rifqi cuma menggeleng-geleng sebelum dia menggamit salah seorang pekerjanya yang sedang bersantai tadi untuk mendekati mereka. “Yad...!” serunya. Ziad mula bangun dari kerusinya.

 Dalam tak sedar Raina mengeluh. Tak boleh ke panggil Anis? Kenapa mesti mamat misteri ni? Ziad ni, membalas pandangan dia pun, dia dah rasa lain macam. Lain macam mana? Entah, yang pasti pandangan dia tu tak termasuk jenis pandangan menusuk kalbu!

“Apa bang?” soal Ziad bila tiba. 

Rifqi tak menjawab, tetapi sebaliknya dia pandang Raina lagi. “Hah, nak minum apa?” sekali lagi dia menyoal.

 Sempat Raina bermain-main bibir sebelum membuka mulut nak menjawab. “Orang tak nak...”

“Cha,” pintas Rifqi sebelum habis jawapannya. “Kalau Cha datang sini, tak nak minum, tak nak makan, nak jumpa abang saja-saja, abang bukan tambah untung tau, tapi rugi. Rugi masa. Ada faham? Sekarang pilih, nak air apa?” arahnya sambil menyuakan kad menu ke arah Raina.

Raina mendengus. Dia cuti semester tak sampai empat bulan dah jadi makin sombong Abang Rif ni. Kepalanya didongak, cuba mengintai reaksi Ziad bila dia dimarah. Tapi sekali dia menjeling saja sudah sempat tangkap senyum di bibir sinis di bibir Ziad. Cepat-cepat dia menunduk kembali. “Abang Rif,” panggilnya perlahan.

“Hmm?” berkerut kening Rifqi memandangnya.

“Sini,” jari telunjuk dia main-mainkan di depan muka Rifqi, isyarat agar Rifqi mendekatkan mukanya.

“Apa?” makin berkerut kening Rifqi.

“Sinilah!”

Dalam pada mendengus, Rifqi akur juga.

“Orang sebenarnya bukan tak nak minum air, tapi orang kalau boleh tak nak minum air buatan mamat ni. Suruh Anis tak boleh ke?” bisik Raina perlahan.

“Ohh...” Rifqi akhirnya mengangguk sambil membetulkan duduk kembali. “Macam tu ya?”

“Haa...” cepat Raina iakan.

“Okey.” Rifqi angguk. “Yad, tolong bawakan ice-blended cookies special kat puteri kita sorang ni. Guna Chips More, tak payah guna Cream-O  lah. Tapi Chips More tu kasi lebih sikit, susu tu jugak. Kalau boleh, semua kasi lebih. Boleh?”

Errkkk...

 Mamat misteri tu terangguk-angguk mendengar arahan Rifqi. “Lagi?”

 “Tak ada dah. Hah, bawakan abang air kosong satu.”

 “Okey.” Ziad berlalu.

 “Cookies special?” Raina menganga. “Siapa nak bayar abang?”

 Rifqi senyum selebarkan mungkin dengan kening sengaja diangkat sebelah. “Takkan nak Ziad belanja kut?”

 Bagai memahami, terus Raina mendengus. Cookies special. Dalam lima ringgit kot! Ades... sudahnya aku diam saja. Sesekali, aku kerling jam. Yang Raiqal ni merayap ke mana pulak? Janji pukul berapa tapi sekarang dah pukul berapa pun batang hidung pun tak nampak lagi. Nak jugak aku sebut frasa yang sangat aku benci tu, janji melayu!

 Sepi antara dia dan Rifqi terganggu bila loceng dari pintu utama kafe berbunyi. Isyarat ada pelanggan yang masuk. “An...!”

 Belum sempat Rifqi menyeru, Anis sudah siap bangun. “Siap sedia bertugas bos.” Ujarnya sebelum mengatur langkah laju mendapatkan dua perempuan bertudung yang baru saja duduk di meja berdekatan Raina dan Rifqi. Dalam sedar Raina mengetap bibir. Student sekelas tu. Sengaja Raina mengalihkan mata ke tempat lain, konon tak sedar ada pelanggan lain di kafe ini selain mereka.

 “Cha...” salah seorang daripada dua orang pelanggan tadi menyerunya.
Raina mengeluh akhirnya. Dia terperangkap dalam suasana yang sangat tak menyenangkan. Mereka berdua ni, kalau setakat classmates saja, dia tak hairan. Boleh saja dia hulurkan senyum nak beramah-mesra. Tapi isunya, kesinisan mereka ni! Dengan mereka ni, jarang sangat Raina nak beramah-mesra. Akan ada benda tak kena yang timbul nanti.


 “Cha...!” seru rakannya pula.

 Raina masih buat dek. Agaknya mereka faham tak yang dia bukan dalam mood nak bercakaran sekarang?

“Raina Aisyah!” Kali ni mereka menyeru serentak.

Raina mendengus perlahan sebelum berpaling ke kanan, memandang mereka. Dan dan-dan itu dia senyum ceria. Terlebih ceria! “Eh! Jiji! Amy! Korang buat apa kat sini?”

“Haa... kat sini, aku tengok wayanglah. Tak nampak tu, Aamir Khan, Kareena Kapoor, semua ada tu.” Jiji menjawab selamba.

Raina sengih. Faham dengan jawapan menyindir tu. Dah kat kafe ni, nak buat apa lagi kan? Walaupun Raina kata dia agak tak senang dengan dua orang makhluk ini, tapi berbanding Amy, dia lebih boleh tahan dengan Jiji. Sebab, Jiji tidaklah sinis sangat sebenarnya. Cuma, sebab dia berkawan dengan makhluk sesinis Amy, sedikit sebanyak, tempias sinis tu kena pada dia. Kalau tidak kerana Amy, Jiji ni okey saja sebenarnya.

“Cha,” Amy menyampuk, minta perhatian.

“Ada apa?” Raina angkat kening.

“Kau dah tak duduk kat rumah sewa kau eh sekarang?”

Kening aku berkerut. “Apa pulak tak tinggal situ? Kalau bukan kat situ kat mana lagi aku nak tidur? Menumpang bilik kau? Kau bagi ke? Kalau kau bagi aku nak free lah, tak nak kongsi bayar ke apa.”

“Hesy,” Amy menjuih. “Tak adalah. Cuma... kalau aku cakap, kau jangan marah eh?”

Raina berdehem kuat. Dalam diam matanya dijulingkan. Aku dah agak. Mesti ada benda tak kena yang dia nak sampaikan ni. “Apa?”

“Semalam aku lalu rumah kau, nampak...” dalam diam matanya menjeling muka Rifqi. “Nampak sorang mamat tengah basuh motor kat luar rumah kau. Guna wayar getah kau. Setahu aku kau anak tunggal. Jiran kau ke?”

“Handsome?” Raina bulatkan mata, konon teruja.

“Agaklah.” Jawab Amy teragak-agak sambil menjeling Rifqi lagi. “Jiran kau ke?”

Ceh! Jiran. Kawasan rumah aku tu jenis rumah sebelah-menyebelah tanpa pagar ke sampai jiran kena basuh motor kat luar rumah aku. Agaklah nak bagi soalan pun.

“Cha,” kali ni, Rifqi pula menyeru bila soalan Amy dibiar tak menjawab oleh Raina.

Sambil menyudu Cookies special yang Ziad bawakan sebentar tadi ke mulut, Raina angkat kening pada Rifqi.

“Raiqal dah sampai ke?” soal Rifqi perlahan. Dah dapat telah kut lepas dengar ‘cerita’ sahabat Raina di sebelah ni.

Raina sengih. Sengih tutup salah. Sepanjang cuti ni cuma pada Rifqi dan Fira saja dia bercerita tentang Raiqal. Cerita tentang scene ‘jejak kasih’ kat Kelantan hari tu, hinggalah cerita tentang Raiqal yang dapat sambung belajar di tempat yang sama dengan dia. Jadi tak hairanlah kalau Rifqi nak marah bila Raina langsung tak roger apa-apa pada dia tentang Raiqal yang sudah ada di rumah Raina sekarang ni.

Menjegil mata Rifqi memandang Raina. “Kenapa tak bagitahu?”

 “Telefon habis bateri. Malas nak charge.” Straight no corner-corner Raina menjawab.

“Mana dia?”

Dan-dan itu, Raina nampak kelibat seseorang di luar kafe. Baru turun dari motosikal LC. Nampak nanar. Raina sengih. Panjang pun umurnya... “Tu...” mulutnya menjuih pada gerangan di luar kafe. Dari ekor mata, dah boleh nampak Amy dan Jiji yang ikut memandang ke tempat yang dia tunjuk. Tangan dilambai-lambai pada Raiqal.

“Ke mana tadi?” soalnya bila Raiqal sampai di meja kami.

“Tak ke mana. Saja jalan-jalan kenal tempat.”  Raiqal menyalami tangan Rifqi sebelum kerusi yang tersedia elok di situ dijadikan tempat dia berlabuh punggung. Pada Amy dan Jiji di meja sebelah dia anggukkan kepala. Dah orang menjeling-jeling, takkan nak dibalas dengan jelingan jugak kut? Raiqal Ammar Rafizi ni bertamadun orangnya!

“Raiq eh?” soal Rifqi sambil kening sengaja dijongket sebelah, tanda kurang yakin.

Terus Raina libas kepalanya dengan cap putih tadi. “Habis siapa lagi yang orang nak kenalkan kat Abang Rif ni?”
            
Rifqi tergelak. Kepala yang dilibas tadi digosok dua kali. “Tak adalah. Macam...”

“Macam apa?”

“Macam langit dengan bumi je.”

Raiqal ketawa kecil sementara Raina mencebik. Nak meyindirlah tu. Mentang-mentang Raiqal sampai-sampai je terus cium tangan dia. Karang kalau aku cium jugak tangan dia, naya kena libas. Abang Rif ni bukan boleh harap sangat.

 Di meja sebelah, Amy dan Jiji terkebil-kebil memandang mereka. Oh... lupa! “Raiq,” seru Raina malas. Pakai nada tak bermaya.

“Ha,” Raiqal mendongak.

“Kenalkan, classmates aku.” Raina juihkan bibir pada dua orang makhluk ini. Nampak tak sopan, depan-depan Abang Rif pulak tu! Jatuh saham eden. Tapi tak sempat dia tarik balik aksi tak senonoh tu.

“Fira?” teka Raiqal cepat.

“Hesy,” cepat Raina menafikan. Si Fira tu tak adalah busy body macam ni rupa. Tapi memang pun, dah itu je pun kawannya yang Raiqal kenal. Tak apa, mulai hari ni, dia akan kenal dengan siapa kakak dia ni berkawan. Aku akan bawa dia masuk ke dalam dunia kakaknya ni.

“Tak, Fira nanti-nanti aku kenalkan. Ni Jiji,” Jiji tersenyum cuma membalas pandangan Raiqal. “sebelah dia tu, yang gedik-gedik tu...” sengaja diperlahankan perkataan akhir tu agar tak terbias dek cuping telinga Amy, “Amy.”

 “Hai.” Sapa Amy pada Raiqal.

 Kali ni, giliran Raiqal yang membalas sapaan itu dengan senyuman. Bagus, nampaknya dia faham yang kakaknya ni tak suka dia berkawan dengan minah seorang tu. Hatta nak anggap si Amy sebagai kakak pun aku takkan restu. Dah cukup baik ada kakak sesporting aku, tak perlu nak angkat orang lain pulak sebagai kakak. Raina angguk berpuas hati dengan kelakuan yang Raiqal tonjolkan hari ini. Tak cukup dengan itu, kepalanya digosok-gosok. Gaya nak cakap ‘akak sayang adik’ segala.

Membuntang mata Amy dan Jiji memandang dua beradik tu. Dan bila mereka jeling Raiqal, Raiqal rupanya sedang menunduk. Masing-masing berkerut dahi. Touching pulak dah...

==> peace. sudah baca, harap komen yeah. =)

AlFatihah Hassan

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

2 comments:

  1. Cerita ni best.....#^_^
    Tapi slow ckit lah dear....

    ReplyDelete
  2. heehee.
    mmg sebelum ni pun slalu dpt komen kata permulaan cerita slalu slow..
    hehh...
    xleh nk ubah masa ni..
    kehkeh.
    dlm proses ngedit nanti baru ubah.
    peace.

    ReplyDelete