Cerita Antara Kita 24

by 1:35 AM 1 komen


                Reza, Muiz dan Izzudin saling berpandangan sesama sendiri melihat air muka yang dipamer Nash sebelum bahu masing-masing diangkat. Apa lagilah yang tak kena. Mood mengalahkan kaum wanita kena PMS saja! Pagi-pagi lagi boleh tunjuk muka kelat macam tu. Orang nak ke kelas ni, senyumlah sikit. Ceria. Mulakan hari dengan senyuman, bak kata Dr Fadzillah Kamsah di TV pagi-pagi biasa tu.

                “Kau kenapa, Daniel?” Izzudin bertanya acuh tak acuh sambil tunduk mencangkung nak merantai tayar Lagenda merah hitam miliknya. Satu geng, lima orang, lima-lima pakat tunggang Lagenda belaka. Cuma berbeza pada warna. Kongsi taste yang sama.

                Nash Cuma diam tak melayan. Cuma mata saja masih fokus pada satu sudut di ruang parkir motosikal pelajar itu. Pagi-pagi sampai ke kampus dah disajikan dengan pemandangan yang menyakitkan hati. Heh.

                Reza tergelak kecil melihat gaya Nash. “Dah-dahlah tu weh... orang lain pun bercinta ugak. Tak ada sampai gaya pandang tak berkelip macam kau. Turun-turunlah, yang dok bertenggek atas motor tu lagi kenapa? Kelas kau berapa minit aje lagi nak start ni.”

                Nash menjeling sekilas. Helmet yang masih di kepala ditanggalkan malas, tapi dia tetap bertenggek di situ. Tak nampak tanda-tanda dia nak turun. Mulutnya menjuih ke tempat yang menjadi santapan renungan tajamnya dari tadi tu. “Tu, kau tengok tu... kalau aku ajak keluar, heh... follow. Follow. Konon tak naik motosikal dengan lelaki. Yang tu apa tu?”

                Kali ni, Reza, Muiz dan Izzudin dah berkerut dahi. Kening masing-masing terangkat tinggi. Pandangan mereka lemparkan ke arah yang dipandang Nash.

                Cha yang sedang menunggu Raiqal mengunci tayar LC mereka. Heh. Apa halnya?

                “Masalah apa kau ni?” Muiz pula bertanya pelik.

                “Tu... kau tengok tu...” Nash memanjangkan lagi muncung itiknya.

                Tiga orang rakan tadi dah tergeleng kepala tak faham sebelum berjalan meninggalkannya. Karang kalau tunggu, heh... boleh makan berjam-jam agaknya!

                Dan Nash masih di situ dengan muka sebalnya. Bertambah sebal bila melihat Raina dan Raiqal mula mengatur langkah meninggalkan ruang itu. Elok bergelak-tawa tanpa ada tanda langsung yang menunjukkan kehadiran dia di sini disedari.
===================================
                Masuk ke kelas, laju saja bola matanya bergerak menjalankan tugas. Mencari tempat yang paling dekat dengan Raina. Dan memang langkah kanan sungguhlah. Sebelah kiri Raina memang available lagi. Terus kakinya dikerah untuk cepat-cepat menapak ke situ. Takut dirembat orang lain.

Raina yang sedang ralit bercakap dengan Fira berpaling padanya sekilas dan lemparkan senyuman cerianya dengan kening terangkat kedua-dua belah. “Hai!” Sepatah itu yang dia ucap sebelum berpaling pada Fira kembali. Sekadar menyapa!

                Nash tahan hati.
==============================
                “Psst...” Bahu Raina disiku perlahan.

                “Hm...” Raina menyahut acuh tak acuh dalam pada tangan ralit membuat nota ringkas. Sekali-sekala dia mendongak memandang muka lecturer, cuba fokus dan ada masanya cermin mata berbingkai hitam yang tertenggek di atas hidungnya itu dinaikkan sedikit dengan jari telunjuk, menyelesakan keadaan.

                “Nanti karang kau balik dengan siapa?”

                “Hm...” Bebola mata Raina masih pada nota kecilnya. “Tak tahu lagi. Aku ingat nak pergi kafe kejap...”

                “Pergi kafe?” Nash tanya semula tanpa sempat kawal nada suara. Sudahnya, terpaksa dia sengih menerima pandangan ntahpape budak-budak sekelas. “Pergi sana buat apa?” soalnya lagi, kali ni berbisik seperti awal-awal tadi.

                “Jumpa Abang Riflah...”

                Heh, dah ke kafe tu, mestilah jumpa mamat tak semenggah tu. Takkan pulak nak jumpa mamat misteri yang Raina selalu bersungut tu. Impossiblelah kan. Tapi masalahnya, untuk apa? Perlu ke tiap-tiap hari nak tunjuk muka kat mamat bajet muka matang sangat tu? “Kalau hari ni tak pergi tak boleh ke?” ...wajib sangat ke? “Ikut aku pergi library kejap, boleh?”

                “Aku tak sedap hatilah. Semalam pun lain-macam aje muka dia tu... kutlah dia ada terasa hati dengan aku. Siapa tahu.”

                Nash menjuih tanpa sedar Raina. “Gaya macam laki-bini. Habis tu, balik?”

                “Rumah aku dekat aje kut, tak sampai setengah jam pun.”

                “So, jalan kakilah?”

                “Kalau letih sangat nanti aku call Raiq lah, tak payah nak kalut...” Raina jujur.

Jujur sungguh, dengus Nash sendiri.
===============================

                “Abang Rif ada?” tanya Raina pada Anis yang sedang tercegat di kaunter waktu itu. Anis cuma senyum segaris. Sambil menekan-nekan mesin duit, dia juihkan sedikit bibir ke arah bilik peribadi Rifqi di sebelah dapur. Dan Raina angguk mengerti. Lelah sangat dah tu... berderetan yang beratur belakang aku ni.

Selesai membayar, dia membawa Oreo Cheese Cake yang dipilihnya dan sebotol Tropicana Twister botol kecil ke meja yang masih kosong. Sebelah tangan lagi bergerak menekan-nekan kekunci telefon.

BZ ke? Orang tunggu kat meja ni...

Dan tak lama, Rifqi muncul, tanpa cap putih dan apron rasmi kafe melekat di tubuh. Buat kerja pejabat agaknya. Raina sengih menyapa. Ambil hati. “Busy eh?”

“Tengah check akaun kafe. Tapi sebenarnya abang pun letih jugak, seharian tak rehat...”

“Tak rehat kenapa? Nak check akaun takkan sampai berjam-jam?”

“Tengok sekelilinglah cik adik oi. Tak menang tangan si Ziad dengan Anis nak layan customer. Tak surut-surut dari tadi.”

“Alhamdulillah!” Raina mengingatkan.

“Iya... alhamdulillah. Abang bukan merungut, just bercerita... heh. Payahlah Cha ni.”

Raina senyum. Dalam diam, dia mengeluh lega. Mood Abang Rif baik hari ni, tak macam petang semalam. Dalam pada dia menikmati kek di hadapannya, Rifqi menyuakan satu bungkusan yang berbalut cantik ke arah dia. Tahu sangat apa yang ada di dalam bungkusan itu.

“Lagi?” Suapannya terhenti dan dia buat muka tak senang.

Rifqi senyum dan angkat bahu. “Selagi Cha buat koleksi dalam almari aje semua yang abang bagi tu, selagi tu abang takkan berhenti bagi.”

Raina mengeluh. Dapat hadiah selalu, siapa yang tak suka. Tapi, dia pun ada hati. Ada perasaan. Entah apalah yang Anis atau Ziad kata bila tengok Abang Rif bagi dia benda-benda ni semua. Dalam almari baju kat bilik tu, dia jamin, dah lebih dari sepuluh koleksi tudung yang Abang Rif kasi. Pelbagai jenis, pelbagai warna dan tentunya pelbagai harga! Tapi dia sampai sekarang tak terbuka lagi hati untuk bertudung. Bukan tak suka, bukan anti, tapi tak ada rasa ‘nak’ yang muncul dalam diri tu yang susah. Lagipun, untuk jadikan ‘bertudung’ tu satu isu dalam kepala ni pun jarang sekali.

Apa Cha? Tak terbukak hati? Heh... kau tak ingat ustaz semalam kata apa? Menunggu hidayah untuk sampai tu samalah seperti menunggu pintu syurga tertutup.

“Nanti-nantilah Abang Rif, orang pakai...”

“Nanti bila?”

“Nanti orang dah bersedia.”

“Persediaan tu kena bina Cha, bukan ditunggu.”

Raina mengeluh lagi. Untuk keseratus lima puluh juta kali... hailah, menyanyi pulak dah. Tapi betullah, untuk kesekian kalinya, isu ni dibangkitkan. Malas sungguhlah.

“Abang Rif tok sah risaulah, one day Cha pakailah. Sekarang ni Cha malaslah, tengok orang kiri-kanan...” Raina alihkan pandangan ke pandang sekeliling, seperti kebiasaan. Mula mencari sasaran. “Tu...” bibirnya menjuih sedikit pada seorang kakak di hujung sudut kafe. “Kakak tu pun bertudung jugak, tapi apa beza dengan Cha kalau setakat pakai tudung dengan bonggol unta tinggi atas kepala? Huih... nak menjeling pun takut heh. Tu sorang lagi...” bibir menjuih lagi. “Tudung pakai, tapi ‘nasi lemak’ dia tetap dedah kasi orang tengok. Buat free show. Apa maknanya tu?” Menahan muka yang membahang saja ni...

Rifqi tersenyum nipis sebelum tergeleng-geleng.

“Hah, yang baru masuk tu... cuba abang tengok. Tudung ada, tapi baju seluar entah apa-apa. Segala jenis lekuk boleh nampak.” Time macam ni memang lancar aje flashback kuliah Ustaz Kamarul semalam berputar di minda.

Tiba-tiba suara orang perempuan ketawa beramai-ramai kedengaran. Serentak Raina dan Rifqi berpaling mencari arah datangnya suara itu. “Hah, tu lagi satu. Yang paling Cha tak tahan, pakaian elok sempurna habis, tudung dah nak-nak bulat dan labuh mengalahkan sekolah arab, tapi bila bercakap, masyaAllah! Ketawa dia mengilai-ngilai, bahasa dia tak sanggup nak ulang... apa ke benda tu?”

Terkebil-kebil Rifqi membalas pandangan Raina sudahnya. Bila dilihat Raina berhenti seketika dari memerhati sekeliling untuk menarik nafas, dia angkat kening. “Dah habis?”

Raina menjuling.

Rifqi menghela nafas panjang. “Kenapa Cha mesti nak ambik contoh ntahpape macam tu? Abang Rif rasalah, kat luar tu, banyak lagi golongan bertudung yang manis bila dipandang, cantik bila dikenali juga. Kan?”

“Siapa sangat...”

“Kawan baik Cha tu?”

Raina terjerat. Bila dia cuba mendongak memandang Rifqi, rupanya Rifqi sedang merenung dia dengan bersungguh berserta senyumnya. Haih. Terus dia melarikan biji mata dari terus memandang Rifqi sambil tunduk menghirup air di delam gelasnya. Fira tu suku kiralah. Dia dari awal lagi memang ‘macam tu’. Pergi ke kelas mana pernah dia pakai baju lain selain baju kurung atau jubah. Kalau iya pakai seluar pun, jeans, heh... ampun. Awal-awal lagi rejected. Selama ni pun, memang Fira lah idola dalam senyapnya. Tabik dalam diam. Dan Fira sendiri pun banyak bagi nasihat yang boleh dipakai untuk dia. Tapi, untuk dia sendiri yang meminta diberi nasihat, segan. Sangat segan. Apatah lagi dengan BFF sendiri. Lagipun dia tu...

“Dia tu dari awal lagi macam tu Abang Rif. Kalau pun ya dia baru, dia ada kekuatan. Pembimbing. Imam. Abang Firas tu sentiasa ada di sisi dia. Menjadi penguat semangat dia kalau dia jatuh. Pengubat hati kalau dia terluka.”

“Kalau Fira ada Firas, then Cha ada abang.” Mudah Rifqi membalas.

Raina tertunduk lemah. Lemah sungguhlah bila kita bercakap ada aje yang nak dijawabnya. Haih. Sebelah tangan naik menggaru-garu kepala yang tak gatal. Bagi dia, bertudung atau tak, itu bukan isu. Ni, dalam hati ni mau kira. Kalau setakat tudung tak pernah tanggal, tapi mulut longkang bau loji tahi... apa macam? Tak ke memburukkan imej Islam tu? Kalau pakai tudung, tapi pakai sebab terlalu nak ikut fesyen terkini... hah, suku kira pulak. Macam zaman sekarang inilah. Sebab selebriti pun dah ramai berhijrah, tudung pun dah bermacam jenis. Kadang-kadang tudung tak layak digelar tudung tu yang ramai orang pakai.

Dia ni... walaupun rambut dibiar lepas, tapi hati cantik! Lagipun Papa sendiri tak pernah nak marah-marah dia, jadi kenapa perlu dia merajinkan diri nak menyesakkan kepala otak? Yang selalu papa pesan, solat lima waktu jangan sesekali ponteng. Itu tiang. Asas akidah kita. Kalau yang itu goyang, haa... memang harus kita tak sedap duduk.

Loceng kafe berbunyi menarik perhatian mereka. Raina memandang gerangan yang menapak memasuki kafe sekali lalu. Sekadar memandang dalam pada telinga mendengar akan bicara Rifqi dan mulut berceloteh membalas kata-kata lelaki itu. Seorang wanita separuh usia nampak sedang berbual-bual mesra dengan Anis di bahagian kaunter. Berbual, makna kata bersembang. Bukan berbual customer-cashier. Kening Raina naik terbentuk. Saudara ke? Tak lama, Ziad pula nampak mendekati mereka. Lama melepak di situ. Akhirnya, Raina angkat bahu. Nak pening-pening kepala buat apa? Hailah... Raina fokus pada Rifqi semula. Namun, perhatiannya terganggu lagi bila wanita tadi nampak mendekati meja mereka. Terkebil-kebil Raina memandangnya. Saya kenal mak cik ke?

“Rif...” sapa wanita itu sambil tangan naik menepuk lembut bahu Rifqi.

Oh... tauke punya saudara ke...

“Eh, mama! Kenapa sampai ke sini?” Rifqi bangun dan menyalami tangan wanita itu.

Erk, mama? Laju saja Raina bangun, menghormati. Lebih pada mengambil hati sebenarnya. Heh.

“Mama jumpa kawan mama tadi. Alang-alang lalu sini, singgah kejap. Ni tak ada kerja ke ni? Bersantai sakan nampak.” Puan Rozita duduk menyelesakan diri. Tauke kepada tauke, mana tak selesa? Huluran tangan Raina disambutnya dengan senyum manis di bibir.

“Baru rehatlah ni. Kenalkan Ma, Cha.”

 “Kawan?”

“Ah? Haa... kawan, kawan.” Raina mengangguk. Takkan kekasih kut? Tunang yang selalu dia sebut tu nak dicampak ke mana? Aku on aje...

“Student lagi la ni?”

“Ijazah.”

“Oh...” Puan Rozita mengangguk lagi.

Seterusnya, Puan Rozita terus berbual tentang macam-macam hal dan Raina melayan mesra walaupun masih boleh dilihat canggungnya. Rifqi sengih dalam tak sedar. Dah rupa interview cari menantu ni! Lama berbual, tiba-tiba Raina meminta izin untuk ke tandas. Puan Rozita sekadar senyum mengangguk. Setelah Raina berlalu, suasana jadi sepi. Puan Rozita pandang Rifqi tak berkelip. Pandangan mintak penjelasan. Rifqi pula cuma menyandar dengan mata memandang siling. Nak bersiul, takut diceramah panjang pula. Tapi sejujurnya, dia tahu makna pandangan mamanya itu.

“Kenapa ma?” soalnya dengan muka suci. “Air tak sampai lagi ya? Mama dah order dengan Yad ke belum ni?”

Spontan tangan Puan Rozita naik menepuk lengan Rifqi. Geram. “Tak payah nak melencong. Explain.”

Rifqi tergelak kecil. “Explain apa pulak ni ma? Isy, mengalahkan polis kat balai pulak mama ni...”

“Mama serius Rif.” Puan Rozita menjegil. “Patutlah pun, sekarang ni jarang sangat nak balik rumah. Ada yang disorok rupanya...”

Kali ni, Rifqi benar-benar ketawa. Bukan ketawa nak tutup cerita saja. “Mama ni, gaya macam Rif nikah senyap-senyap aje. Rif tak balik sebab Rif letihlah ma. Kafe ni bukak pukul berapa, tutup pukul berapa? Mama sendiri tahu kan Rif sibuk sangat. Sebab apa lagi? Takkan mama nak kata malam-malam Rif ditemani bidadari cantik tu kot? Hah, lena sungguhlah.”

“Hah, bidadari cantik!”

Rifqi sengih. “Kidding... kidding...”

“Rif, jangan lupakan bakal tunang...”

Tak sempat ayatnya dihabiskan, telefon Raina yang tertinggal di atas meja itu berdering. Serentak mereka menjeling ke skrin. Nash yang menelefon. Heh. Tangan Rifqi bergerak menekan punat ‘silence’. Dalam tak senang dengan panggilan itu, Rifqi berterima kasih juga. Nampak dari air muka mama pun macam dah lupa topik terakhir mereka yang baru nak masuk gear satu aje tadi. Bakal tunang segala!

Beberapa minit berhenti, sekali lagi telefon itu berdering. Kali ni bukan dari pemanggil yang sama. Rifqi menjenguk skrin dan tertera nama ‘Papa’ di situ. Mengenangkan sebelum ini dia pernah berbual dengan papa Raina, laju saja dia menyambar telefon itu dan punat hijau ditekan.

“Hello,” sapanya perlahan. Kening mamanya yang naik terbentuk di hadapannya dibuat tak nampak.

“Hello? Siapa ni?”

“Ini Rif pak cik. Kawan Cha yang hari tu.”

“Oh... Cha ke mana ya?”

“Cha pergi...” Tak sempat nak menjawab, matanya menangkap kelibat Raina yang sedang laju berjalan ke arah meja mereka. “Haa, kejap pak cik.” Lalu disua telefon itu kepada Raina yang baru nak melabuhkan punggung di atas kerusi. “Papa...” Menyedari jelingan dalam diam dari mamanya, pantas dia menambah, “... Cha. Papa Cha.”

Anggukan dan senyuman daripada mamanya buat Raina seterusnya sudah dia faham baik. Sementara Raina bercakap dengan papanya, Puan Rozita memberi isyarat pada Rifqi, meminta diri. Rifqi mengangguk sambil tangan mamanya dicium. Setelah menepuk sekali bahu Raina, Puan Rozita terus berlalu. Raina mengangguk dan mengukir senyuman buat Puan Rozita, mengambil hati. Beberapa minit kemudian, panggilan ditamatkan.

“Ada apa?” Rifqi buat muka ingin tahu. “Teruja benar nampak?”

Raina sengih. “Papa ada kat rumah kitorang sekarang ni, tunggu Cha balik. Dia nak suruh Cha tengok motor baru Raiq, okey ke tak.”

“Motor?” Kening Rifqi naik terbentuk. Tak faham.

Raina senyum dan mengangguk tiga kali sambil menghabiskan keknya. “Papa ada beli motosikal untuk Raiq. Untuk birthday Raiq, malam ni. First birthday dia yang kami nak celebrate after more than ten years...”

“Oh...” Patutlah syahdu semacam mukanya. “So, balik dengan apa? Takkan Raiq jugak kot? Kata nak surprise...”

“Jalan kakilah,” jawabnya mudah. Bukan jauh sangat pun, setakat jalan sini ke situ, baru tercabut satu skru lutut.

“Jom Cha, balik dengan aku.” Nash muncul tiba-tiba. Tersentak Rifqi dan Raina melihat dia yang tercegat di sisi Raina itu. Entah datang dari mana, tiba-tiba ajak orang dalam gaya memaksa. Rifqi dah menjeling tak senang dengan pelawaannya itu. Tapi, ada aku kisah? Kata hati Nash. “Jomlah.”

“Kau dari mana ni?” Raina mengurut dada.

Nash mendengus. Banyak bunyi sungguhlah. Tadi dia ke sini bercadang sekadar nak mengajak Raina keluar, tapi sebaik saja sampai, yang dia dengar Raina akan pulang berjalan. Hah, peluang keemasan dah tu. “Dah, tak payah nak banyak mulut. Habiskan air kau, aku hantar kau balik.”

Dalam bingung, Raina habiskan jua air di dalam gelasnya. Dan bila habis, laju saja tangannya ditarik Nash. Raina mendengus kasar sebelum menepis keras tangan Nash itu. “Apa ni Nash?”

“Aku hantar...”

Rifqi seperti biasa, cuma terkebil-kebil menanti babak seterusnya. Melihat Raina yang akhirnya akur, dia tersenyum sinis. Yang dia hairan, buat apalah Cha nak membangkang sungguh-sungguh kalau sudahnya dia ikutkan juga kehendak Daniel itu?

Cha... bonceng motor dengan lelaki. Dan lelaki tu bukan Raiq.

Cha dah maju setapak.


Heh. Rifqi speechless. 

##ehem! maap lama xapdet.

AlFatihah Hassan

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

1 comment: