Cerita Antara Kita 21

by 10:45 AM 2 komen

            “Yang tayang muka empat belas ni apa cerita?” Raina tayang muka pelik melihat Raiqal yang asyik menjeling-jeling dari tadi. Bukan menjeling dia, tapi menjeling orang lain. Pagi-pagi lagi nak tayang muka pesen tu, mana nak datang barakahnya.

            “Siapa tu?” tanya Raiqal sekali. Bibirnya menjuih pada seseorang di luar rumah. Rancak berbual dengan Papa di meja batu. Papa pula melayan mesra. Dah ada paper kat tangan tu, tak payah nak layan sangatlah.

            Raina menjengah. “Jiran sebelah rumah.”

            “Tahu... orang pun nampak tadi dia datang dari rumah sebelah. Yang Raiq tanya, siapa? Kenapa sibuk dok melepak sini?”

            “Aku tak nampak masalah apa pun dia duduk sini?”

            Raiqal merengus. “Bila ada yang bertanya tu, maksudnya dia memerlukan jawapan. Faham?”

            “Hek eleh. Kerek.” Komen Raina menyampah. “Aku panggil dia Mak Cik Jue. Tak payah nak sombong sangatlah, dia tu baik. Dah berzaman aku kenal dia, memang dia baik. Bukan takat dia yang baik, anak-beranak dia pun begini baiknya.” Ibu jarinya dinaikkan. Tanda kesungguhan. Mana tak baiknya, sejak dia kecik, kalau ada apa-apa event di sekolah yang memerlukan kehadiran penjaga dan Papa tak dapat hadir, selalu Mak Cik Jue lah yang volunteer diri. Kadang-kadang sampai dia menganggap Mak Cik Jue itu mamanya sendiri! Pernah dia cadangkan Papa untuk jadikan Mak Cik Jue itu mamanya, tapi yang tak tahannya boleh Papa tergelak panjang. Sejak tu dia serik. Tak usah nak jadi match-maker sangatlah.

            “Mak Cik Jue...” Raiqal mengangguk-angguk. “Selalu ke dia lepak sini?”

            Raina tergelak. “Jaga bahasa sikit. Mana melepaknya, kan dia datang kasi kuih ni.” Tupperware yang berisi kuih talam dibawa Mak Cik Jue tadi diangkat.

            Raiqal mencemik. “Kasi kuih sampai kena duduk kat meja batu segala...”

            “Dah Papa ajak.”

            “Papa tu pun satu...”

            “Yang nak emo sangat kenapa?”

            Emo tak emo. Mak Cik Jue kesayangan Cha tu janda, kalau ikut dari cerita Cha selalu tu. Memang Cha tak cerita sangat, tapi sikit-sikit yang dicerita tu, masuk melekat di kepala ni. Dan bila seorang janda duduk bersama seorang duda dan si duda itu Papa, sungguh dia tak berkenan. Takkan ada dua Mama. Cukup dengan Mama yang satu itu aje!

            Tapi, bila fikir-fikir balik... Papa ada Mak Cik Jue, Mama pun ada Pak Su Afiq kat Kota Bharu sana tu. Hah, adillah kan?
================================
 Sementara itu, di Kota Bharu sana, Adawiyah yang baru balik dari kerja shif malamnya menyibukkan diri. Kalau dulu, balik kerja, adalah jugak Raiq di sisi buat pengubat sunyi. Sekarang, Raiq dah semakin membesar, dia pula ditinggalkan keseorangan. Tapi ditinggalkan berseorangan atas sebab itu, langsung dia tak menyesal. Malah bangga pula! Anak yang dia besarkan seorang diri selama ini akhirnya ‘jadi orang’!

Memanglah, masuk universiti itu tak semestinya dah berjaya. Tapi, itu satu peringkat untuk berjaya. Dan dia, sebagai mama sekali gus papa kepada Raiqal, mana boleh tak berbangga dengan prestasi anak muda itu.

Kadang-kadang, bila melihatkan Raiqal, ingatannya sering kali terarah pada Raina. Anak yang meniti alam remaja hanya dalam jagaan seorang Papa itu. Bagaimana dengan Cha? Jadi orang ke tidak anak itu? Tidak teringatkah dia pada Mama dan Raiq di sini? Tapi melihat Raina yang muncul di depannya tempoh hari, sungguh hatinya terharu. Sangkanya mereka dua beranak sudah dilupakan sepenuhnya. Sangkanya Rafizi sudah berikan mama yang baru buat Cha. Tapi ternyata, Raina di situ. Tersenyum dalam debar menantikan mereka keluar untuk menyambutnya.

“Mak cik ni... Adawiyah?” Itu yang ditanya Raina sewaktu dia muncul di pintu rumah mereka tempoh hari.

Dan dia sendiri, tanpa sempat menjawab terus merangkul gadis muda itu ke dalam dakapan. Tak perlu ditanya siapa gadis itu, melihat wajahnya sahaja dia sudah nampak iras campuran dia dan Rafizi di wajah itu. Cuma Raiqal yang nampak blur. Mahu tak kelam, mereka berpisah bukan setahun dua, tapi 12 tahun!

Setelah dakapan mereka terlerai, belum sempat dia nak perkenalkan Raina pada Raiqal, anak terunanya itu sudah hanyut dirangkul Raina sendiri. Waktu itu rasa sebaknya makin membukit, ternyata Raina masih kenal Raiqal! Mengingatkan betapa merahnya muka Raiqal waktu itu, dia tergelak sendiri. Raiq... Raiq... Tapi iyalah, siapa tak blushing bila tiba-tiba seorang perempuan muda datang depan rumah dan memeluknya erat, kan? Tambah haru, dipeluk live depan mama sendiri! Heh.

Tapi, melihat rambut panjang Raina yang lepas bebas itu, dia agak terkilan. Ini ke hasil didikan Rafizi? Dia mengeluh. Tidaklah nak kata didikan yang diberi pada Raiqal tu cukup lengkap dan sempurna, malah nak ‘dipertanding’ pula dengan cara Rafizi mendidik Raina. Oh please. Dia tidaklah sebodoh itu. Cuma, sedikit rasa tak puas hati yang muncul bila melihat keadaan ini. Dulu, Rainalah yang selalu berceloteh tentang aurat dengannya.

“Mama, aurat ni...” 

Itu bila kain yang dipakainya tersingkap mendedahkan betis di depan Rafizi. Siap tolong menutup dengan selimut lagi betis yang terdedah itu. Dia dan Rafizi cuma tergelak panjang.

“Mama, cikgu sekolah Cha kata tak ada guna pakai tudung tapi lengan tak tutup!”

Itu pula bila Adawiyah turun dari rumah untuk angkat kain dengan kalut sampai tak sempat nak capai sarung lengan.

“Cha, cikgu Cha tak kata pulak kalau nak tegur orang kena tegur macam mana?” Rafizi membebel. Dan lepas tu, Adawiyah akan menepuk tangan kemenangan. Tak kisah dengan kain yang dah basah kuyup di ampaian.

Dia tersenyum sendiri. Mengingati kenangan silam selalu mencipta bunga senyum di bibirnya. Pasangan suami-isteri lewat 20an dengan sepasang anak kecil, Raiqal dan Raina. Pasangan yang romantik. Keluarga yang bahagia.

Rafizi menikahinya sewaktu mereka sama-sama dalam alam universiti. Memang ibu dan ayah melarang, malah kedua-dua mertuanya juga, atas alasan mereka masih belajar. Malah, usia mereka terlalu muda. Baru saja nak capai umur 20an. Orang tua mana yang tak risau? Tapi larangan mereka tidaklah sampai menentang. Setelah puas dipujuk, akhirnya mereka dinikahkan juga dengan restu kedua-dua belah pihak.

Setahun bernikah, Raina lahir. Rumah tangga mereka semakin berseri. Ibu dan ayah sendiri seakan lupa mereka pernah melarang masjid ini terbina suatu waktu dulu dengan hadirnya cucu mereka itu. Apatah lagi bila Rafizi membuktikan pada mak dan ayahnya yang dia mampu menggenggam ijazah  dengan isteri dan anak di sisi. Tak lama kemudian, Adawiyah pula menamatkan ijazah dan tambah menggembirakan, dia disahkan mengandung.

Sama-sama mereka membesarkan Raina dan Raiqal bersama. Yang lucunya, ada antara saudara-mara yang menjadikan Rafizi sebagai ‘lelaki contoh’. Tidaklah sebegai idola, namun kata ibu, sebab Rafizi mampu jaga anak dara orang pada usia yang begitu muda serta mempunyai cahaya mata tanpa perlu extend pengajian itu yang bikin mereka salute.

Tapi sebenarnya, panas yang mereka jangkakan sampai ke petang tidak berkekalan. Sewaktu Raina dan Raiqal baru nak kenal alam sekolah, hubungan mereka terduga. Puncanya? Sangat klise. Orang ketiga! Sungguh, dia sendiri tak percaya Rafizi yang pernah meluahkan betapa dalam cintanya buat Adawiyah dulu boleh berpaling tadah gara-gara wanita lain.

“Kau orang muda lagi Yah... berdarah panas. Jangan ikutkan sangat hati tu. Syaitan ni memang kerja dia menghancurkan umat Muhammad aje. Buat masa ni, sabarlah dulu. Rafizi pun tak pernah angkat tangan dekat kau kan? Sayang dia pada kau masih bersisa, percayalah. Sebab tu ibu harap sangat kau tabah. Jangan sampai syaitan bertepuk tangan gembira meraikan runtuhnya lagi masjid yang terbina ni.”

Memang. Nasihat ibunya itu dituruti. Dia sabar. Sampaikan Rafizi memberitahu dia akan menikahi wanita itu juga, dia sabar. Dia relakan diri dimadukan. Bukan kerana nasihat ibu, tapi sebab cintanya pada Rafizi juga bukan sedikit. Kalau wanita penganggu itu fikir Adawiyah akan berundur dengan cara ini, maka dia akan membiarkan wanita itu terus hidup dalam alam mimpinya.

Tapi pengorbanan dia dipersia! Rafizi enggan memadukan dia. Ternyata permintaan wanita itu kononnya ingin memiliki Rafizi sepenuhnya dan tak rela berkongsi lebih diberi perhatian. Dengan satu lafaz, gugurlah satu talak ke atasnya. Sedih, memang dia sedih. Apalagi bila dia dipisahkan jauh dengan anaknya sendiri. Bukan dia tak sayangkan Raina sampai sanggup membiarkan mereka anak-beranak terpisah, bukan.  Tapi waktu itu, semangatnya seakan patah. Dia seakan sudah pasrah dengan apa saja yang Rafizi nak lakukan. Tapi, ternyata tindakan dia yang merelakan saja itu yang mendatangkan sesalnya sampai hari ini. Kerana sikap pasrahnya, dia hilang peluang keemasan itu. Peluang untuk melihat Raina membesar di depan matanya sendiri. Sampai sekarang, bila kenangan silam mengetuk mindanya, ada senyum rindu dan ada riak sebu yang muncul pada wajahnya.

“Ada!”

Dia tersentak dari lamunan panjang. Mata yang terasa berkaca cepat disekanya. “Ada apa bang?” sahutnya pada Afiq yang dah tercegat di depannya. Akhbar Metro di tangan dilipat dua.

“Menungkan apa sampai tak sedar abang masuk rumah ni?” Afiq melalukan kerusi batu di antara dua belah pahanya.

Adawiyah senyum. “Tak adalah bang, teringatkan Raiq aje.” Pintu pagar yang terbuka separuh dipandang sekali lalu. Hm, memang ralit benarlah kalau pagar terbuka pun boleh tak sedar.

“Raiq?”

“Hm... entah dah pergi ke tidak rumah papanya.”

“Raiq pergi rumah Papa dia?” Afiq mengulang.

Adawiyah tergelak kecil. Tak ada yang pelik pun. “Semalam Raiq kata dia orang dua beradik tu nak pergi rumah Papa dia, Cha yang ajak. Tapi tak tahulah jadi ke tidak.”

“Rafizi maksud Ada?”

“Habis, Ada pernah kahwin dengan orang lain ke selain dia?” Adawiyah tergelak lagi.

“Oh...” Afiq mengangguk. Perkembangan terbaru, desisnya sendiri. Sebelum ni, Raina datang ke Kelantan, dia tahu. Malah dia sendiri sudah bertemu mata dengan anak sepupunya itu. Tapi, setakat yang Raiqal ceritakan pada dia, hubungan Raiqal dan Rafizi tidak seperti anak-papa lain. Lain macam mana, dia sendiri sukar nak gambarkan. Tapi sekarang, siap bertandang ke rumah lagi tu... okeylah tu kot.

“Abang dari mana ni? Hari tu kata pergi Vietnam?”

“Baru baliklah ni. Bos bagi cuti dua tiga hari, buat hilang lelah.”

Kening Adawiyah naik sebelah. “Baru balik? Bila sampai?”

“Dinihari tadi.”

“Wah... dinihari sampai pagi ni dah terpacak kat rumah Ada. Rasa dihargai pulak.”

Afiq senyum sungging. “Memang sepatutnya dari dulu lagi apa Ada rasa dihargai. Abanglah orang yang paling menghargai Ada, tau?”

Adawiyah tergelak. “Amboi ayat... tak menahan. Kata-kata abang ni bisa sungguh kan? Buaya.”

“Eh... kalau tentu abang buaya tak main bisa-bisa ni. Sekali ngap terus dapat. Tapi Ada tak dapat-dapat, sah-sahlah abang ni bukan spesies buaya.”

“Ada pulak...” Adawiyah tergeleng. “So, datang ni memang bawak diri aje ke? Kata baru balik melancong, takkan tak ada...”

“Ada... jangan risau. Tapi dok dalam kereta kawan, tertinggal semalam.”

Adawiyah membuntang. “Wah, serius sungguh abang ni ya. Mak Lang macam mana? Sihat?” Mendengar soalan itu, Afiq ketawa panjang. Kepalanya tergeleng sedikit. Kening Adawiyah terangkat sebelah melihatkan gelagatnya. “Kenapa bang? Geli hati sangat gamaknya?”

            “Ada ni tak ada modal lain. Setiap kali abang datang, itu ajelah yang ditanya. Mak Lang, Mak Lang, Mak Lang... mak abang kat rumah tu entah berapa kali tersedak agaknya. Cuba tanya abang ni sihat ke tidak, kan ke sejuk jugak hati abang.”

            “Dah tu... abang dah kat depan mata Ada, nak tanya apanya lagi. Sihat walafiat aje Ada tengok.”

            “Tu kat luar, kat dalam ni Ada tak nampak.” Jari telunjuk Afiq menghala ke dada sendiri. Namun sengih masih setia tersungging di bibir.

            Adawiyah tergeleng dalam senyumnya. Tu dah mulalah tu. “Ada apa kat dalam tu?” Dia melayan.

            “Ada nama Ada.”

            “Mana?”

            “Ada, kat dalam ni. Terpahat kukuh dalam hati ni.”

            Adawiyah kerutkan kening. Gaya berfikir masalah negara aje melihatnya. “Kenapa Ada tak nampak pun? Tak apa, nanti Ada masuk ambik kapak, belah dada abang. Sure boleh nampak terang, tak gitu?”

            “Amboi, bergurau...”

            “Eh, tak... serius ni.”

            “Janganlah Da, kot ya pun tunggulah abang nikah dulu. Kasi chance abang rasa nikmat alam 
perkahwinan dulu.”

            Adawiyah mencemik. Afiq ni, gaya tak serupa orang besar. Muda remaja aje gaya percakapan dia tu. Gaya gila-gila. Heh, sebab pengaruh title ‘bujang’ dia tu kot. “Kasi berapa banyak chance lagi. Ada tengok dah berderet gambar perempuan Mak Lang tunjukkan kat abang, ada rupa pulak tu... eh boleh dia tolak mentah-mentah. Ni nak kata tak ada chance pulak. Pigidah.”

            “Mana, abang tak tolak mentah-mentahlah. Abang dah try dulu, rasa tak kena baru abang reject. Kadang-kadang yang abang rasa boleh masuk tu, dia pulak tak berkenan dengan abang. Haa, nak buat macam mana?”

“Abang tu memilih sangat. Bukan tak cantik pun calon-calon yang Mak Lang cari tu, Ada yang perempuan ni pun tak fikir banyak kali nak puji cantik, ini pulak abang yang lelaki tu. Rasa tak kena tu biasalah bang, mula-mula kenal. Bercinta lepas kahwin barulah best.”

Afiq senyum sinis. “Kalau setakat bedak pasar malam tebal kat pipi, eye shadow terang sampai tak nampak warna asal mata, tak payah nak kata ada rupa sangatlah Da... abang ada taste jugak.”

            “Eh, padanlah dengan umur awak tu. Abang tu dah lebih empat siri tahu? Ada hati nak demand lagi.”

            “Eh Ada apa tahu, orang lelaki ni bila masuk siri keempat ni lagi meletup. Men begin at forty, tahu? Lagipun, baru awal 40an, tidak sampai 50 lagi...”

            “Yeah right.” Adawiyah menjuling. “Dah kira baik Mak Lang tak carikan abang janda. Ingat jugaklah Mak Lang status abang tu...”

            “Hah, sebut,sebut.” Afiq mencerun. “Status-status tu jangan main.”

            “Iyalah, abang ni bujang terlajak, bukan duda. Ops...” Adawiyah menekup separuh mulut. “Tak sengaja.”

            “Ada...” Afiq kelu. Dalam senyum dia tergeleng sedikit. Abang bujang terlajak pun bersebab, Da. Bukan saja-saja. “Tapi kalau janda pun abang lagi suka sebenarnya, janda anak dua.”

            Adawiyah terdiam. Terjerat. Sebolehnya dari awal lagi dia nak mengelak dari berbicara tentang hal-hal begini, tapi akhirnya, terjerat jugak! “Abang dah minum?” Adawiyah bangun. Afiq ikut bangun.

            “Da...” pergelangan tangan Adawiyah dicapai Afiq. Langkah Adawiyah terhenti. Dan waktu itu juga, telefonnya berbunyi. Anak mata keduanya sama-sama terpaku pada skrin telefon di atas meja batu itu.

            Raiq.

            Adawiyah mengalih pandang, dari skrin telefon ke tangannya yang masih dalam pegangan Afiq. Akhirnya, matanya tertunak pada wajah Afiq. “Tangan Ada, please.”

Perlahan, Afiq melepaskan genggaman tangannya pada tangan Adawiyah sebelum dia naikkan kedua belah tangan ke udara, mengaku salah. Melampaui batas dia kali ni.

“Assalamualaikum,” suara Adawiyah kedengaran menjawab panggilan Raiqal. “Haa, mama ni. Dah sampai ke? Oh, semalam lagi. Kira petang ni baliklah? Hm... kat rumah ni. Baru balik kerja. Pak Su Afiq pun ada ni,”

“Yeah, I’m here.” Afiq mendekat agar suaranya jelas didengar Raiqal. Adawiyah mengelak tak senang.

“Tak tahulah. Konon datang nak berziarah katanya. Papa ada ke tu? Sihat dia? No thanks, kirim salam ajelah.”

“Ehem! Ehem... ehem!” Tangan Afiq naik megurut tekak. Sakit tiba-tiba!

“Hm... ya... mama pun. Nanti petang mama call balik ya? Nanti kirim salam dekat Kakak Cha. Assalamualaikum...”

“Raiq?” tanya Afiq sebaik saja talian ditamatkan.

Adawiyah menjuling. Entah apa-apalah. Dah tahu lagi nak ditanya. “Tak, Fizi.”

Afiq terkena. “Tak apalah kalau macam tu, abang balik dulu.”

 “Seeloknya macam tulah.”

“Amboi... Ada, tak agak-agak. Tak apa, dengan Ada abang tak ambik hati sangat. Nanti kalau ada apa-apa, hallo-hallo sama abang ya.”


“InsyaAllah.” Dalam hal ni, tak boleh nak kerek sangat. Memang selama ni pun pada Afiqlah dia dan Raiqal bergantung kalau perlukan apa-apa. Afiq tak lokek. 

P/s: Terjawab dah? Hehe. enjoy reading. maaf xselalu update. =-)

AlFatihah Hassan

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

2 comments:

  1. ouh..u sbb mak bapak cha bercerai ek?
    tp...sape plak yg jd phk ke3 tu???
    nape x kawen ngan papa cha pon???
    ~syahira-ira

    ReplyDelete
  2. syahira_ira, sabaaarr.. hehe.

    ReplyDelete