Cerita Antara Kita 26

by 3:11 AM 1 komen

            Selesai bercakap dengan Raiqal, Afiq memulangkan telefon kepada Adawiyah. Adawiyah menyambut. Tapi melihatkan Afiq yang masih terus menyambung aktiviti goyang kakinya di atas sofa di ruang yang sama dengannya itu membuatkan dia geram. “Abang buat apa lagi kat sini?”

            “Teman Ada layan perasaanlah.” Afiq selamba membaringkan tubuhnya di situ. Lengannya dilintang di atas dahi. Lagak orang tak ada kerja sungguh gayanya.

            “Tak payah, Ada okey aje ni. Abang masuk tidurlah. Karang kalau Kak Lang abang keluar, apa pulak kata dia. Kalau Mak Ngah keluar, lagi naya.”

            “Tak apa. Diorang faham abang ni kategori kurang kasih-sayang. Kat luar ni, abang tengah top up kasih sayanglah ni.”

            “Ya Allah...” Adawiyah beristighfar kemudiannya. “Mengarut apa abang ni?”

            “Hah, tu otak melencong ke lainlah tu? Hey... laju aje fikiran orang yang ada pengalaman ni ya? Orang cakap benda lain dia fikir benda lain. Dah, Ada jangan nak kotorkan otak suci abang ni.”

            “Abang ni...” Kelu Adawiyah akhirnya.

            “Dahlah. Tak payahlah nak halau-halau abang. Sungguh abang kata, abang tak lena tidur bila teringat Ada ada kat luar ni. Sebab tu sudahnya abang keluar jugak ni. Yang Ada buat apa kat luar malam-malam macam ni?”

            Adawiyah mengeluh perlahan. Dalam bilik itu panas sangat, sebab itu dia keluar ke ruang tamu rumah ini. Lagi pula memang dia tak berniat pun nak tidur awal malam ini. Awal-awal dia dah pasang hasrat untuk menelefon Raiqal di sana, mengucapkan selamat ulang tahun untuknya. Petang tadi sewaktu Afiq datang ke rumahnya dengan segerombolan ‘askar-askar kecil’ dalam kereta itu, dia sudah faham sangat. Taktik zaman-berzaman tu. Seperti biasa, Afiq kononnya mengajak dia untuk temankan anak-anak Kak Langnya mandi pantai. Nak menolak, kasihan dengan raut wajah yang ditunjuk ‘askar-askar kecil’ itu. Sudahnya, Adawiyah menurut saja. Tapi bila pulang dari pantai, pandai-pandai pula Afiq membuat keputusan sendiri membawa dia ke sini. Join mereka satu keluarga buat barbeque. Bukan dia tak pernah bermalam di sini, malah selalu sangat. Tapi itu sewaktu Afiq ada tugas di luar daerah. Kalau tinggal di bawah satu bumbung seperti malam ini, terserlah benar kurang manisnya.

“Wajib dah tu. Bila berdua, mesti adalah yang ketiganya. Takkan tak pernah tahu benda tu? Ada dah kata tak nak datang tadi, abang paksa jugak. Lepas tu, salahkan Ada pulak.”

            “Eh, ada pulak. Mana abang ada salahkan Ada? Tak ada yang salah malam ni... baik abang mahupun Ada, dua-dua tak salah. Tapi kalau Ada terus-menerus nak rasa bersalah, terima aje abang dalam hidup Ada. Senang.”

            Laju saja kusyen dalam pegangan Adawiyah dilempar ke arah Afiq. “Abang ni!” Tak sudah-sudah dengan tajuk yang satu itu.

Afiq tergelak sakan dalam pada cuba mengelak. “Abang serius ni...”

“Tak payah nak melalutlah.”

“Abang serius tahap petala kelapan ni Da...”

Melihat raut wajah Afiq yang mula nak berubah sesuai dengan nada suaranya itu, tangan Adawiyah naik memicit pelipis. Memang masuk mood seriuslah ni. “Berapa kali bang, kita nak ulang benda sama aje selalu? Tak boring ke?”

            “Kalau dengan mengulang lamaran tu boleh buat Ada lembut hati, 24 jam dok macam ni pun abang sanggup. Seribu kali ulang benda sama pun abang rela. Demi Ada.”

            Mata Adawiyah menjuling ke langit. Hiperbola semata-mata.

            Sekilas, Afiq menjeling lagaknya melalui ekor mata sebelum berkata lagi, “Okey. You hate sweet talker, abang sedar tu.” Terangguk-angguk Afiq sendiri. Dah lama pun dia sedar hal itu, tapi yang dia musykilkan... bukan ke Rafizi tu tergolong dalam kategori sweet talker terlampau jugak suatu waktu dulu?

            Malam yang hening itu terisi sedikit bila Adawiyah tertawa halus. Kelakar mendengarkan kata-kata selamba dari Afiq. “Dahlah bang, tak elok kita macam ni. Benda yang boleh menimbulkan fitnah ni, seelok-eloknya kita elak selagi boleh. Abang duduklah, Ada masuk bilik dulu. Assalamualaikum.” Baru saja dia nak bangun, Afiq dah tunjuk gaya nak menghalang dengan cara yang dia tak suka. Mencerun matanya memandang Afiq. Afiq sekadar angkat tangannya ke udara dan Adawiyah duduk semula.

            “Da, kita tak payah nak susah-susah elak fitnah kalau Ada just terima abang. Please...?” suara Afiq kedengaran berharakat mengalahkan nada yang diguna budak kecil untuk membodek mamanya minta dibelikan aiskrim.

            “Abang!” Tegas suara Adawiyah menyeru namanya, keras namun masih perlahan. Sebolehnya dia tak mahu ahli keluarga Afiq keluar dan menangkap mereka begini.

            “Alahai, garangnya.” Afiq tunjuk muka toya. “Okey then, kalau Ada masih dengan jawapan tu, abang akan terus tunggu Ada.”

            “Abang, don’t waste your time. Sampai bila abang nak macam ni hah?”

            Afiq angkat bahu. “Sampai takdir betul-betul membuktikan yang kita tak ada jodoh.”

            “Ha, ha, ha.” Adawiyah buat muka kerek. “Kelakar. Please, tukar jawapan tu bang. Ayat tu, entah sejak zaman bila lagi Ada dengar. Lapuk sangat dah.”

            Afiq menghela nafas panjang. Memang dia akui, ayat itu yang sering dia guna sejak dulu. Sejak Adawiyah masih anak dara sampailah dia bertemu dengan Rafizi, dan kini bersendirian kembali. Dulu, bila Adawiyah memilih untuk menerima Rafizi, dia pasrah. Dia rela berundur. Dia cuba mencari pengganti lain namun satu hal yang pasti, takkan ada wanita lain yang boleh menggantikan tempat Adawiyah di hatinya. Kerana itu dia masih begini pada hari ini. Sendiri. “Ada, pada saat Fizi melafazkan kabul itu, abang bersyukur sebab Allah masih tak temukan abang seorang isteri yang abang dambakan. Abang tahu, ada sebab kenapa Dia menyusun takdir begitu. Dia nak abang nampak, peluang abang masih cerah sebenarnya.”

            Satu keluhan kecil terbit dari bibir Adawiyah. Sungguh dia tidak punya modal untuk membalas kata-kata Afiq. “Paling tidak pun kasihankan mak long bang, sampai bila abang nak tengok dia berharap saja nak dapat cucu?”

            Kuat Afiq ketawa kali ini sebagai respon kepada kata-kata Adawiyah. “Pasal hal tu, Ada tak payah nak risau. Mak nak cucu, dah lebih sedozen Kak Lang dengan Kak Ngah bagi. Lebih dari cukup dah tu.”

            “Dari abang sendiri?” Adawiyah menduga. Kadang-kadang dia tertanya sendiri. Afiq tak pernah terfikir ke, nak ada anak sendiri? Takkan tak pernah wujud perasaan aneh dalam dirinya bila tengok sahabat sekeliling sudah punya keluarga masing-masing? Paling sikit pun masing-masing sudah punya dua atau tiga orang anak. Malah ada yang sudah capai matlamat, tujuh orang anak!

            “One day, insyaAllah, kalau Ada sudi.” Yakin saja suara Afiq menjawab.

            “Ya Allah...” Adawiyah menggeleng-geleng. “Abang, wake up. Hidup ni bukan pasal cinta saja, banyak benda lain yang lebih penting untuk kita titik beratkan. Bagi Ada cinta tu dah tak ada makna dah. Kalau setiap masa kita nak bincangkan hal ni saja, tak ke mana kita bang.”

            Kali ini Afiq mendekatkan mukanya ke arah Adawiyah. Cukup untuk membuat wanita itu tak keruan walaupun tidak terlalu rapat. “Betul, hidup ni ada banyak benda penting nak kena fikir. Dan Ada adalah salah satu dari benda penting yang patut abang beri perhatian.”

            “Ada dah biasa hidup sendiri bang. Sekarang ni, hidup Ada untuk anak-anak Ada je. Untuk tukar kebiasaan ni, Ada tak pernah terfikir pun.”

            “Oh!” Afiq menjegil tiba-tiba. “Kalau Fizi yang ada kat depan Ada sekarang ni, kalau Fizi datang merayu Ada balik, macam ni jugak ke jawapan Ada? Ke dah kelu terkedu?”

            Sebelah tangan Adawiyah naik meraup wajah. Mengurut-urut sebentar bila terasa ada yang lenguh pada anggota tubuhnya. “Jangan nak merepek bang. Fizi tu dah tinggal sejarah dalam hidup Ada. Nama dia kat sini...” jari telunjuk Adawiyah menghala ke dadanya. “... dah lama luput.”

            Hmm... Afiq sengih. “Jadi bila agaknya nama abang boleh terpahat kat situ?”

            Allah! Adawiyah menepuk dahi. Lelaki ini sungguhlah... punya keyakinan yang tinggi tahap terlampau!
==================================
Reunion? Dahi Raina berlapis sedikit. Asal nama reunion saja, masing-masing sibuk nak bawak partner. Perlu ke? Kalau sesebuah reunion yang dianjurkan tu menetapkan syarat cuma orang yang berkaitan saja yang boleh pergi, tak boleh? Kan lebih senang begitu. Huhh...

“Boleh ke tak ni?” ulang Nash sambil cuba menyaingi langkah laju Raina.

“Boleh ke aku join? Karang nampak menyibuk sangat pulak...” jawab Raina sambil melajukan lagi langkah.  Mereka sedang menghala ke kelas yang sama.

“Bolehlah. Tak ada hal punya. Aku bukan apa, nanti kat sana, mesti semua orang bawak partner. Aku dah lama gila siot tak bertemu mata dengan diorang, paling tidak kalau kelu sikit tu bolehlah aku cover kalau kau join.”

Ayat tipikal orang perempuan tu. Entah dari mana si Nash copy-paste ayat tu.

            Jari telunjuk Raina naik menggaru belakang tengkuk. Mencari-cari alasan lain. “Reunion siapa buat ni?”

            “Geng high school. Set eh? Kalau aku jadi, boleh aku kasi roger kat diorang awal sikit. Senang kerja diorang. ”

            “Hmm, nantilah. Takut-takut ada clash dengan kelas pulak.”

            “Benda tu malam la ngek...” Laju saja siku Nash naik mengena bahu Raina.

            Malam? Lagilah aku tamau. Sigh. “Kalau aku bawak Fira sekali, boleh?” Menyusahkan kuasa dua. Raina tahan muka tembok. Nash ajak aku, aku seret Fira sekali. Elok sangatlah. Tapi... padanlah daripada dok berkepit dengan Nash aje kat majlis tu nanti.

            “Fira?” Nash tergelak sinis. “Bapak punya kerek laki dia tu.”

            Kali ni, Raina ikut tergelak. Teringat kes baru-baru ini. Nash sedang berbual dengan dia dan waktu itu Fira ada sekali. Fira sedang tunggu Firas datang menjemput. Sekali Firas sampai dan nampak saja muka Nash, berubah terus muka dia. Pelik memang pelik. Pasal bukan perangai Firas sebenarnya nak cemburu tak tentu pasal. Pantang nampak Fira bercakap dengan lelaki, nak meradang. Bukan Firas tu. Mereka bernikah pun bukan baru sebulan dua. Dekat empat tahun.

Bila dirisik-risik, rupa-rupanya, Nash itu kawan sekampung a.k.a kawan sekolah rendah Fira dulu! Kalau ikut cerita Firas yang Fira sampaikan kepada Raina, Nash tu skandal Fira masa kecil-kecil dulu. Itu pasallah monyok semacam muka Firas lepas tu.

“Betul ke Abang Firas kata kau dengan Fira pernah bersanding masa kecik-kecik dulu?” Raina bertanya tanpa ada niat nak bertanya pun. Saja nak membahankan mamat bajet macho di tepinya ini. Tak boleh nak imaginelah muka Nash dengan hingus bertempek kat pipi tu masa kecil. Pulak tu, bersanding bawah pokok kelapa. Tersangatlah cute!

“Senyaplah kau.”

“Alalala...”

“Jadi ke tak ni?”

Alah. Spoilt mood yang baru nak up ni. “Nantilah. Aku try ajak Fira. Boleh kan, dia join?” tanya Raina disusuli dengan muka sebelas.

Nash angguk dua kali. “Sepatutnya memang aku nak ajak pun. Tapi laki dia tu macam tu, huh.. tak jadi. Eh tapi kalau boleh, ajaklah.”

Bercantum kedua-dua belah kening Raina mendengarnya. “Kenapa pulak?”

“Kawan-kawan sekolah menengah aku ni, majoritinya budak-budak sama je dengan budak sekolah rendah. So sikit sebanyak diorang kenal jugaklah dengan Fira. Tu pun kalau Fira ingat lagilah kat diorang.”


“Oh ya ke...” gumam Raina sambil mengangguk-angguk. Sebaik sahaja kakinya menapak ke dalam kelas yang hampir dipenuhi siswa-siswi yang lain, dia menyatakan persetujuannya. Seboleh mungkin dia tak mahu berada di dalam kelas dengan hal lain yang masih ‘tergantung’ dalam minda. Matlamat utama dia di sini, memenuhkan ilmu di dada.

=) Peace.

Tabung 8share di sini --> SINI.

Unknown

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

1 comment: