Cerpen Promo: Takkan Pernah Pudar

by 5:12 PM 6 komen



Idea - Ogos 2012
                Syuhada tegak di situ. Rumah papan setingkat di depannya itu dipandang lama. Bagasi sederhana besar di tangannya kini digenggam kemas. Dan untuk kesekian kalinya, dia meneguk liur. “Assalamualaikum!” akhirnya dia keluarkan suara.

                Tak lama, muncul gadis sebaya dia yang usianya dalam lingkungan 20an di muka pintu. Kepalanya dilitupi tuala, ringkas namun tertutup. Seulas senyuman dihulurkan. “Ya?”

                Dari perawakannya, Syuhada dapat mencerna sesuatu. “Atie?” tanyanya spontan.

                Jelas, gadis muda di muka pintu itu berlapis dahinya kini. “Siapa ya?” tanyanya semula sebelum melangkah menuruni tangga rumahnya, mendekati Syuhada.

                “Saya... Da’a.” Sopan Syuhada membalas, sambil huluran tangan yang dihulur gadis itu disambutnya.

                “Da’a?” sekali lagi dahi gadis muda itu berlapis. “Da’a... Da’a facebook?”

                Dan kali ni, Syuhada senyum sambil mengangguk sekali sebelum dalam sesaat dia hanyut dalam pelukan gadis muda yang dipanggil Atie itu.
===============================
                “Kenal dekat facebook mak...” Dari dapur, Syuhada dapat mendengar suara Atie dan emaknya bersoal-jawab. Pastinya, tentang diri dia yang tiba-tiba muncul di rumah ini petang tadi atas alasan mahu menumpang teduh ini. Dia menggigit bibir sendiri. Timbul rasa bersalah dalam hati, menyusahkan orang yang tidak berkenaan, tapi kalau tidak Atie, siapa lagilah yang dia ada untuk bergantung sisa hidupnya ini?

                “Kitorang kawan dah lama mak... cuma tulah, ni pertama kali Atie jumpa dia. First time! Sebelum ni bukan pernah pun kami berjumpa.” Terdengar suara hembusan nafas Atie. “Tak sangka, cantik jugak orangnya.” Terlantun lagi kata-kata itu dari bibir Atie.

                “Kenapa? Sebelum ni tak pernah tengok ke gambar dia?” suara emak Atie kedengaran pelik.

                “Tak. Dia mana pernah upload gambar dia kat FB. Puas Atie mintak, dia kata nanti kita jumpalah... tak naklah Atie main paksa-paksa pulak. Tak selesa dia nanti. Lagipun Atie dah lama tak sembang dengan dia mak... lama dia menghilang. Alih-alih dia datang rumah kita ni, excited la Atie.”

               “Haa. Yang mak pelik satu lagi, macam mana dia tahu rumah ni?”

               “Oh,” Atie ketawa. “Kitorang ni sama-sama hantu e-novel mak. Dia ambil dalam group penulis tu kut. Rasanya.”

               “E-novel, group, apa benda yang kamu cakap ni? Pening kepala mak!”

               “Tak... maksud Atie, pernah satu masa tu, seorang penulis ni nak bagi kad raya kat pembaca dia, so dia mintak alamat. Kami dua-dua ahli group tu. Mak ingat tak kad comel yang Atie dapat masa raya tu? Yang ada gambar mamat hensem tu?”

               “Oh, yang namanya Rifqi tu?”

               “Ha...”

               “Mak tahu siapa mamat hensem tu. Chicco Jerikho!”

               “Ceh! Mak ni kalau sinetron kan...”

“Eh, tu bukan sinetron tu. Tu slot Mutiara.”

Atie menepuk dahi. “Orang bukan tanya nama mamat tu, orang suruh mak ingat kad tu. Mungkin Da’a ambik dalam group tu kut alamat Atie.”

               “Hm...” Cuma itu yang Cik Ikah, emak Atie itu komen. Sedikit sebanyak melegakan hati Syuhada. “Cantik budaknya.” Tambah Cik Ikah dan kali ni Syuhada hanya mampu mengukir senyum malu. Kepalanya ikut tergeleng.

               “Dah namanya chinese muslim, mana tak cantik mak... satu pakej la tu dengan peribadi dia. Kadang-kadang bila Atie chatting dengan dia, rasa malu pulak. Dia yang baru kenal islam ni lebih arif dari kita. Penghayatan dia jauh lebih baik dari kita yang memang dah lahir dalam keadaan islam syumul ni.”

               “Mak pun hairan bila Atie kata kawan Atie, nak kata kawan lama, kawan satu sekolah dengan Atie, rasanya rata-rata budak sekolah Atie tu hitamnya sama legam dengan Atie je kan?” Cik Ikah menyoal dan kali ni kedengaran Atie menjerit kecil. Syuhada ketawa kecil.

               “Ni bukan hitam legam la mak, hitam manis orang panggil! Hitam manis... yang hitam manis...” Atie mula menyanyi.

               Serentak keduanya ketawa. Untuk seketika, mendengar gelak tawa mereka, fikiran Syuhada melayang jauh. Figura wajah mummy dan daddynya singgah di minda. ‘Mummy... I miss you.’ Setitis air mata yang baru nak keluar dari kolam matanya diseka pantas sebaik sahaja dia mendengar tapak kaki seseorang mendekati bilik yang didudukinya.

               “Da’a...” Atie menegur.

               “Ah. Ya, saya.”

               “Dah siap mengemas?” soal Atie sambil duduk di birai katil bilik itu. Bilik yang sementara waktu ini menjadi milik Syuhada.

               “Dah, sikit je lagi ni.” Cepat-cepat dia menyudahkan kerja menyimpan pakaiannya ke dalam almari. Mujur rumah Atie ini ada sediakan bilik tetamu. Kalau tidak, mungkin tambah sempitlah dada Syuhada mahu menyimpan rasa bersalah yang menggunung ni.

               “Kalau dah siap, jomlah makan. Awak sampai tadi tak sentuh apa-apa pun lagi. Mesti pedih perut tu.”

               Syuhada ukir senyum. “Jom.”

               Atie mahu bangun mendahului Atie untuk kedapur tapi belum sempat dia berdiri, tangannya disentuh Syuhada. Perlahan. Bagai minta waktu.

               “Kenapa?” soal dia pelik.

               “Thanks ya, Atie. Awak kawan saya dunia akhirat. Kalau awak tak bagi saya stay dengan awak, saya tak tahu lagi mana nak pergi.” Suara Syuhada bagai sedang menahan sebak.

               Perlahan Atie menggosok tangannya. “Tak ada apalah. Kita kawan dah lama, kalau bukan awak, siapa lagi yang saya nak tolong, kan?”

               Untuk ke sekian kalinya, Syuhada senyum mengenangkan jasa sahabat yang satu ini. Mereka kenal sejak dia masih belum lagi berada dalam agama yang suci ini. Sudah sekian lama! Mungkin hampir lima tahun. Kira-kira setahun setelah dia kenal Atie, dia ambil keputusan untuk memeluk islam. Bukan kerana Atie, atau sesiapa pun. Tetapi kerana hidayah Allah SWT itu sendiri sudah memilih dia.

Dek kerana mummynya merupakan seorang penganut katolik yang tegar, dia merahsiakan keislamannya. Kalau muslim lain selalu ke majlis agama untuk kuatkan lagi akidah mereka, dia cuma boleh berbahas tentang islam dengan Atie dan Ustaz Kamarul, ustaz yang rela hati memimpinnya melalui jalan Allah. Itu pun dalam keadaan waktu yang terhad. Nama timangannya Da’a ini, Atielah yang mula berikan sejak dia memutuskan untuk menjadi seorang Nur Syuhada Qistina Binti Abdullah daripada seorang Christianna.

Hampir bertahun-tahun dia hidup tenang dalam agama barunya namun tiba-tiba ketenangannya berkocak bila tiba-tiba seluruh keluarganya mendapat tahu akan rahsianya ini dan serta-merta dia dihalau. Tidak diakui anak mummy, dibuang keluarga dan tak lama selepas itu dia mendapat tahu sesuatu yang lebih perit dan berat untuk dia terima, benar-benar satu tamparan berat dalam hidupnya. Waktu itu, tidak ada insan lain dalam minda dia kecuali Atie. Cuma Atie.

               “Allahuakbar allahuakbar...”

               Lamunannya pecah bila suara seorang muazzin melaungkan azan kedengaran dari speaker surau sebelah rumahnya. ‘Astaghfirullahal ‘azim...’ Syuhada beristighfar panjang. Mengelamun! Itulah sikap dia sekarang. Pantang ada masa yang terluang, pasti akan dia habiskan dengan sia-sia begini.

               “Dah azan, kita solat dulu ke makan dulu? Cik Ikah dah ada kat dapur ke?” Syuhada menyoal terus.

               “Tak, makanan aje yang dah siap. Awak nak solat dulu pun okey je. Saya cuti.” Atie sengih. “Awak nak solat sini ke masjid?”

               Syuhada menggeleng. “Sini je kot dulu. Maghrib nanti insyaAllah saya solat kat masjid.”

               “Good idea. Maghrib nanti saya dah boleh kut. Kita pergi sama-sama. Okey, sekarang awak solatlah dulu. Saya tunggu kat meja.”

               Syuhada angguk.
 ===============================
                Pulang dari masjid petang itu, Syuhada cuma berjalan kaki ke serata kampung. Sudah hampir dua minggu dia menetap saja di situ. Menetap sahaja tanpa fikirkan hari esok. Tanpa hala tuju! Yang dia mahu kini, cuma menghabiskan sisa hidupnya di tempat yang dia rasakan dapat memberi ketenangan buatnya. Sekelip mata, mindanya menerawang ke satu tempat di kampung itu. Tempat yang indah dan sungguh tenang bagi dia yang baru saja sampai di kampung ini waktu itu. Sekali tengok, bagaikan tidak ada yang pernah menjejakkan kaki di situ. Tidak tercemar!

               Namun, niatnya untuk menuju ke tempat itu hari ini dibatalkan bila tiba-tiba kepalanya terasa agak pening. Berdenyut. Lantas dia ambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah Atie. Tiba di satu selekoh di hujung kampung itu, dia belok ke kanan. Satu bayangan seseorang di belakangnya menarik perhatiannya. Lantas dia kalih ke belakang, tapi lorong yang telah dilewatinya tadi tetap sunyi, tiada perubahan. Titisan peluh mula terbit di dahinya. Cepat-cepat dia lajukan kayuhan. Semakin laju dia mengayuh, semakin kuat dia rasakan seseorang sedang mengejarnya. Untuk toleh ke belakang sekali lagi, dia tak berani! Hatinya kuat mengatakan ada bahaya yang menunggunya andai dia melengahkan waktu. Tapi kerana terlalu takut, kakinya tergelincir dari ‘spaddle’.

               Dan-dan itu dia rebah dari basikalnya!

               “Allah!” suara garau seorang lelaki muncul di belakangnya. Jadi benar, ada yang mengekorinya. Terus dia menoleh ke belakang, memandang lelaki bertongkat yang sedang tergesa-gesa mendapatkannya itu. Tidak berkelip matanya dek ketakutan melihat gaya ‘penjenayah’ di hadapannya ini. Toreh pun tidak berdarah mukanya. Tangan lelaki itu yang hampir melekat di lengannya ditepis kuat. Badannya mula menggigil.

               “Tolong... ja... jangan, jangan sentuh saya.” Syuhada gelengkan kepalanya beberapa kali. Tanda kesungguhan. Kain yang terselak dan mendedahkan hampir keseluruhan betisnya ditutup pantas.

               “Saya nak tolong amoi bangun je ni, boleh bangun tak ni?” lelaki tersebut akhirnya cuma mencangkung menghadap Syuhada.

               Pantas Syuhada angguk yakin. “Boleh...” jawabnya sepatah sebelum bangun berdiri. Punggungnya yang terasa pedih akibat jatuh terjelepok tadi disapu-sapu dengan tapak tangannya. Basikal yang tersadai di atas rumput itu pula diangkat oleh lelaki asing itu dengan sebelah tangan dan pantas Syuhada mengambilnya dari tangan lelaki itu.

Berkelip-kelip mata si lelaki memandang wajah Syuhada. “Cantik,” desisnya spontan.

               “Hah?” Syuhada membalas renungannya.

               Lelaki itu sengih, sebelum menggeleng pantas. “Basikal ni, macam kenal.”

               “Basikal kawan.”

               “Tahu...” lelaki itu angguk perlahan. “Boleh balik ke tidak ni?”

               “Boleh,” sekali lagi Syuhada menjawab yakin. “Mesti boleh.”

               “Tak pernah nampak pun kat sini... baru pindah ke?”

               “Tumpang rumah kawan.”

               “Oh... kawan siapa nama?”

               “Atie.”

               “Atie?”

               Syuhada geleng kepala. “Cik Ikah.” Dia perbetulkan. Biasanya, dalam kampung, orang kampung lebih dikenali dengan nama maknya. Mungkin begitulah juga mereka ni.

               “Oh... kalau boleh balik sendiri tak apa, tapi kaki amoi berdarah tu.” Mulut lelaki itu memuncung pada kaki Syuhada.

               Lantas Syuhada alihkan pandangannya dari muka lelaki itu ke buku lalinya yang baru terasa pedihnya kini. “Tak apa.”

               “Kalau tak yakin saya boleh tolong kayuh basikal tu, amoi duduk belakang je.”

               “Kayuh?” Syuhada tanya semula, sambil mata berkelip-kelip memandang si lelaki. Minta kepastian.

               Lelaki tadi ketawa kecil. “Jangan ingat saya yang bertongkat ni tak boleh kayuh basikal... naik skateboard pun boleh lagi. Amoi tak kenal lagi siapa saya ni. Nak try?”

“Eh, tak apa...” cepat-cepat Syuhada menggeleng.

               “Okey kalau macam tu.” Lelaki itu berunduk setapak dengan sebelah tangan naik ke udara, beri laluan untu Syuhada melepasinya. Tidak tunggu lama, Syuhada terus menuntun basikalnya melewati lelaki itu. Kalau diikutkan, dia lebih suka mengayuh saja. Tapi pedih di kakinya yang terasa berdenyut, ditambah pula dengan denyutan di kepalanya dari tadi ini... menjadikan dia tidak yakin dengan diri sendiri.

               Hampir sepuluh meter dari tempat tadi, dia toleh ke belakang. Mahu mengintai si lelaki tadi. Tapi sungguh mengejutkan bila dia dapati si lelaki tadi masih mengekori dia rapat di belakang. Kira-kira  semeter sahaja dari belakang! Dia beristighfar pantas.

               “Tak apa... saya dah okey ni.” Beritahu Syuhada ringkas.

               “Tahu.” Sepatah jawab lelaki itu dan dia terus melangkah mengekori Syuhada. Sebelah tangannya masih disorok elok di dalam kocek slack. 

Bersambung...
##kenapa rasa bahasa skema semacam je dalam ni? heekk.

P/S: Support me by hit like and yesss, comment means thousandss to me. The tukang tulis. Peace. 

Unknown

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

6 comments: